Siapa saja yang tidak tergoda dengan keharuman aroma raja segala buah, durian. Musim durian ditunggu-tunggu saban tahun oleh setiap penggemarnya untuk menikmati kelazatan buah ini dan melepaskan kempunan setelah setahun menunggu ketibaannya.
Rupa-rupanya, tidak hanya di Malaysia, rakyat China juga sudah ‘ketagih’ terkena penangan durian. Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, hasil durian tempatan seperti Musang King mendapat sambutan istimewa di negara Tembok Besar itu.
Cetus fenomena setaraf iPhone X
Di China ada dua perkara sahaja orang beratur panjang. Pertama, apabila Amerika Syarikat keluarkan produk baru, iPhone X. Kedua, durian Malaysia. Itu perkara yang patut kita banggakan.
Di Amerika Syarikat dan Eropah, mereka boleh berbangga dengan anggur dan oren. Kita tiada produk eksport bernilai tinggi selain nanas. Sebab itulah durian cukup luar biasa.
Beliau membuat kenyataan itu selepas ditanya Sim Tong Him (Parti Bebas – Kota Melaka) apakah usaha kerajaan bagi memastikan harga buah-buahan tempatan kekal rendah berbanding harga di luar negara.
Pengeluaran turun, harga cecah RM100 sekilo
Menurut Ahmad Shabery, durian Musang King ada dijual mencecah RM100 sekilogram kerana penurunan ketara pengeluarannya pada musim ini yang menunjukkan perubahan 20 peratus lebih rendah berbanding musim lalu.
Harga naik sebab faktor musim, bukan eksport ke China
Ujarnya lagi, kenaikan harga di pasaran sehingga mengundang kemarahan penggemarnya bukan kerana eksport besar-besaran dibuat ke China, namun faktor musim dengan pengeluaran tidak memberangsangkan, sekaligus mendorong penjual menjual dengan harga lebih tinggi.
Sumber: Berita Harian , Free Malaysia Today