Sejak berlakunya kes kematian akibat pengambilan dadah secara berlebihan di salah sebuah konsert terbesar di Kuala Lumpur tempoh hari, ramai penganjur konsert tidak senang duduk kerana risau sekiranya majlis yang bakal dianjurkan tidak mendapat kebenaran.
Akibat daripada kes berkenaan juga, kawalan keselamatan dan syarat-syarat bagi menganjurkan sesebuah majlis hiburan semakin diperketatkan oleh pihak berkuasa.
Namun begitu, Mysterious Asia selaku penganjur showcase bersiri Electronic Dance Music (EDM) telah mengumumkan bahawa persembahan yang akan diadakan oleh pihak mereka nanti tidak akan dicemari dengan isu dadah.
Penganjur akan bekerjasama dengan anggota keselamatan dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) agar pengunjung yang hadir benar-benar bebas dari pengambilan dadah. Malah, minuman keras juga tidak akan dihidangkan pada hari tersebut.
Bagaimanapun, konsert ini dijangka mampu menarik ribuan peminat muzik dengan adanya penghibur-penghibur hebat dan terkenal antarabangsa antaranya Bobina, Tenishia, 2 Faced Funks, Jacob Van Hage, Susana, Sandro Silva dan ramai lagi.
Siri pertama Mysterious akan berlangsung pada 26 April 2014 bertempat di Malaysia International Exhibition & Convention Centre (MIECC), Mines Resort City. Manakala beberapa siri lain akan diadakan pada bulan Jun, September dan Disember tahun ini.
Tenishia antara pemuzik yang akan membuat persembahan di Mysterious
Untuk pengetahuan anda, tiket dijual dari harga RM88 (early bird) dan RM158 serta boleh didapati secara atas talian menerusi Ticket Charge, hubungi 03-92228811 atau kunjungi kedai muzik seperti Rock Corner, Victoria Music, dan Speedy Video.
Sekadar makluman, showcase ini terbuka kepada remaja berusia 18 tahun dan keatas sahaja. Anda juga perlu membawa dan menunjukkan kad pengenalan di pintu masuk bagi tujuan keselamatan.
Dalam pada itu, peminat juga berpeluang mendapatkan barangan percuma, harga tiket istimewa dan menyertai peraduan Mysterious Grand Contest jika anda menjadi ahli Mysterious Music Club Membership.