Semua peminat hiburan tempatan sedia maklum bahawa hubungan cinta antara pelakon terkenal, Nabila Huda bersama Nas-T telah pun berakhir sejak bulan lalu dan sewaktu bertemu dengan pelakon terbabit di Restoran Rasta, petang semalam, Nabila telah mengesahkan sendiri berita itu.
Menurut Nabila Huda atau lebih mesra disapa sebagai Abil, kini dirinya lebih selesa untuk hidup bujang dan gembira dengan kehidupan sekarang.
Saya selesa untuk hidup bujang dan saya rasa sangat gembira. Ya, status saya sekarang adalah single and available.
Sebenarnya saya memang sayangkan Nas-T dan sampai sekarang kami masih lagi berhubung serta berkawan seperti biasa. Saya sayangkan hubungan ini, tapi ini adalah keputusan yang terbaik buat saya.
Nabila sewaktu hadir ditayangan eksklusif episod akhir drama Teduhan Kasih
Berkongsi lebih lanjut mengenai kisah putus cintanya itu, Abil akui amat takut untuk menjalinkan hubungan cinta bersama Nas-T kerana bimbang ianya boleh merosakkan persahabatan yang telah sekian lama terjalin antara mereka.
Saya takut dengan cinta sebab pada saya cinta boleh merosakkan persahabatan. Adat orang melayu selalunya bila bercinta, lepas itu putus, kita akan buat hal sendiri dan ambil keputusan untuk tak nak berkawan lagi. Jadi, saya tak nak perkara macam itu terjadi.
Kalau ada jodoh, adalah. Saya pun dah tak nak bercinta. Kalau boleh terus kahwin je.
Artikel Berkaitan :
- Nabila Huda Putus Cinta Dengan Nas-T?
- Kami Masih Macam Biasa – Nabila Huda
- Amy Search Tak Tahu Kisah Cinta Nabila Huda
Menyentuh mengenai respon bapanya, Amy Search yang dikatakan tidak tahu mengenai hubungan cintanya bersama Nas-T, pelakon wanita ini akui dia sendiri tidak gemar untuk berkongsi hal peribadi bersama keluarga dan merasakan ia adalah satu perkara biasa yang tidak perlu digembar gemburkan kepada seluruh ahli keluarga.
Merujuk perkembangan terbaru, Nabila Huda bakal muncul dengan drama terbaru berjudul Sangkar yang akan ditayangkan di TV9.
Bagaimanapun, untuk semua peminat drama bersiri Teduhan Kasih, di sini OHBULAN! selitkan beberapa foto para pelakon drama tersebut sekitar majlis tayangan eksklusif episod akhirnya petang semalam.