berita

Nafi Pengkhianat Parti, Azmin Ali Tegaskan Mahu ‘Selamatkan’ Tun Mahathir Daripada Konspirasi Jatuhkan PM

February 25th, 2020 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Semalam, Datuk Seri Azmin Ali dalam satu kenyataan media telah memaklumkan bahawa sebelas orang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk dirinya telah membuat keputusan secara rasmi untuk keluar daripada Parti PKR. Di samping itu, beliau turut memberitahu akan terus menyokong kerajaan Pakatan Harapan untuk membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Terbaru, menerusi Facebook Azmin Ali, beliau telah mengeluarkan satu kenyataan media di mana kesemua sebelas ahli PKR itu mendakwa mereka telah mengambil langkah yang tepat untuk menggagalkan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri di tengah-tengah penggal.

Memaksa Perdana Menteri melepaskan jawatan

Kenyataan media : 24 Februari 2020

Malam Jumaat lalu kita menyaksikan usaha golongan sebahagian pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk memaksa YAB Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad menetapkan tarikh beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan melakukan peralihan kuasa kepada Presiden KEADILAN Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Usaha tersebut adalah kemuncak kempen mereka untuk mewarwarkan isu peralihan kuasa sebagai agenda utama PH. Kempen ini telah dimulakan sejak beberapa bulan yang lalu dengan kekerapan meningkat dari semasa ke semasa sehingga mengalihkan pandangan rakyat daripada usaha untuk memberikan tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institusi. Kempen ini telah menghakis keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kewibawaan kerajaan PH.

Pelbagai usaha dilakukan untuk memberi tekanan kepada YAB Tun Dr. Mahathir yang sedang mempersiapkan negara untuk menganjurkan Persidangan APEC pada bulan November 2020. Persidangan ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada usaha menampilkan Malaysia sebagai model transisi demokrasi yang mengutama agenda aspirasi rakyat. Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai “lame duck PM”.

Mengambil langkah proaktif

Ini adalah kerana menukar Perdana Menteri di tengah penggal memberi isyarat yang salah kepada rakyat dan masyarakat pelabur. Peralihan kuasa ditengah-tengah penggal akan mengugat kesinambungan dasar-dasar dan persepsi rakyat terhadap kerajaan PH. Justeru itu kami telah mengambil langkah proaktif untuk mengagalkan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri ditengah-tengah penggal.

Langkah yang kami lakukan adalah untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar Kerajaan yang bertujuan untuk meningkat tahap sosioekonomi rakyat seperti yang terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Justeru itu kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat. Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri ditengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa Perdana Menteri dari perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat.

Usaha kami terbukti benar bahawa pihak tersebut kini menyedar kesalahan yang mereka lakukan. Justeru itu kenyataan mereka menyokong YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal.

Sumber: Azmin Ali

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×