Pertunangan Elfira Loy dan Sufian Suhaimi diberitakan terputus di tengah jalan. Pengumuman berkenaan dibuat oleh ibu Elfira, Filzah Yusoff petang tadi. Dia mengatakan jodoh pasangan itu tidak panjang. Tambahnya, kedua-dua keluarga akan bersemuka tidak lama lagi untuk perbincangan.
Namun, ada pula versi lain di pihak Sufian sendiri. Apa yang pasti, komen yang diberi nyata berbeza dengan kenyataan dikeluarkan oleh ibu Elfira sebelumnya.
Cincin masih pada tunang
Berita Harian melaporkan penyanyi itu tidak akan memberi sebarang komen sehinggalah proses perbincangan dengan kedua-dua keluarga berlangsung. Tambahnya, tindakan itu perlu bagi menunjukkan rasa hormatnya.
Tunggu sehingga selesai perbincangan antara keluarga kedua-dua belah pihak, baru saya bersedia memberikan komen. Saya perlu menghormati ibu dan ayah.
Tambah Sufian, dia beranggapan hubungan pertunangan dengan Elfira masih seperti biasa kerana cincin tanda mereka masih dalam simpanan Elfira.
Hadir pihak ketiga
Menurut penyanyi Terasa Ada ini lagi, hubungan mereka tidak menghadapi sebarang masalah namun mengakui kehadiran pihak ketiga sebagai punca kemelut yang melanda.
Tunggulah, insya-Allah segala-galanya akan terlerai juga nanti.
Keluarga Elfira dikhabarkan akan menghantar semula cincin pertunangan mereka apabila bertemu keluarga pihak Sufian yang dijadualkan berlangsung esok.
Elfira-Sufian bertunang dalam satu majlis meriah pada 6 Oktober tahun lalu dan sepatutnya disatukan pada bulan depan, mengikut perancangan asal.
Sumber: Berita Harian