Penyanyi, Datin Alyah berkongsi bagaimana dirinya menamakan anak angkatnya yang kini berusia tiga bulan sebagai Nur Izzara.
Artikel Berkaitan: Nur Izzara Penyeri Rumah Tangga Alyah & Ramli MS – ‘Engkaulah Perancang Terbaik’
Nama restoran di R&R
Ketika ditemui OhBulan!, Alyah atau nama sebenarnya Nor Hasliah Abu Hasan berkata nama Nur Izzara itu diambil sempena nama sebuah restoran yang terdapat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Ayer Keroh, Melaka
Saya tidak pernah ada pengalaman beri nama anak. Tapi nama ini diberi ketika saya singgah di R&R Ayer Keroh dan ternampak ada restoran diberi nama Izzara di situ.
Saya hendak letak nama Izara Aishah, tetapi, risau orang keliru pula dengan pelakon Izara Aishah. Emak cadangkan letak Nur, jadilah Nur Izzara.
Alyah berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media program realiti Gimme The Mic yang diadakan di The Bee, Publika.
Ketika ditanya mengenai perasaan menjaga Nur Izzara, pelantun lagu ‘Tak Mungkin Kerna Sayang’ ini mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri mengasuh anak angkatnya itu.
Menurut Alyah, dia cuba membiasakan diri untuk menjadi ibu dengan berbekalkan pengalaman mengasuh anak saudaranya sebelum ini, namun mengakui pengalaman ini sangat berbeza memandangkan perlu untuk bersama Nur Izzara 24 jam.
Kalau diikutkan, saya tak pernah rancang untuk ambil anak angkat. Ramai yang nak beri (anak) tetapi saya tak nak. Komitmen ini bukan macam jaga kucing. Malah, kucing pun kita kena jaga betul-betul, banyak perkara kita kena fikir.
Tetapi, selepas dapat panggilan untuk menunaikan ibadah haji, saya dapat Izzara selepas dua hari dia dilahirkan. Ada masalah yang saya tidak nyatakan, iaitu sebab apa ibu bapanya tidak boleh menjaganya.
Ini adalah rezeki saya dan suami, Tok Ram dapat menjaga Nur Izzara.
Terdahulu, Alyah mencuri perhatian apabila berkongsi foto ketika majlis cukur jambul dan aqiqah Nur Izzara menerusi Instagram (IG).
Imbas kembali, Alyah dan Ramli atau mesra dengan sapaan Tok Ram mendirikan rumah tangga pada 18 Mac 2013.