Penyanyi, Nana Sheme mendedahkan bahawa sudah empat tahun dirinya bebas dari pengambilan ubat yang melibatkan tekanan serta anxiety yang dialaminya sebelum ini.
Artikel Berkaitan: Nana Sheme Mahu Kukuhkan Kewangan Sebelum Fikir Soal Zuriat – ‘Mungkin Lagi 3 Tahun’
‘Bebas’ selepas berkahwin
Ketika ditemui OhBulan!, Nana atau nama sebenarnya Nur Nabilah Hashimi berkata tekanan atau kebimbangan melampau yang dialaminya itu mula berkurangan selepas dirinya bertemu dengan suami, Zikri Zakaria sebelum mereka mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu.
Namun, pelantun lagu ‘Hantu Atau Buaya’ itu memaklumkan bahawa tekanan yang dialaminya itu akan sesekali hadir sekiranya timbul perkara yang boleh menyebabkan dirinya tertekan.
Alhamdulillah saya sudah tidak mengambil ubat-ubatan selama hampir empat tahun dan lebih-lebih lagi sejak saya berjumpa dengan suami tercinta saya.
Anxiety yang saya dapat ini berpunca daripada trauma yang saya alami sejak kecil. Ketika itu berlaku bermacam-macam ujian seperti ibu bapa saya bercerai kemudian saya dikejutkan dengan pemergian ibu saya.
Jadi, saya tak sempat pun nak sesuaikan diri dengan keadaan pada waktu itu. Saya tak sempat sembuh sebab masa itu kita tak ada kesedaran mengenai hal-hal membabitkan kesihatan mental ini.
Nana berkongsi perkara tersebut ketika pelancaran single terbaharu yang berjudul ‘Aku Mencoba’ hasil ciptannya sendiri bersama suami.
Dalam pada itu, penyanyi berusia 28 tahun tersebut mendedahkan single terbaharu yang diciptanya itu merupakan sebuah nukilan yang menggambarkan tentang kehidupannya dan dalam masa yang sama mahu memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai isu tersebut.
Lagu ‘Aku Mencoba’ ini merupakan nukilan yang mengisahkan tentang realiti kehidupan semua orang yang sedang bergelut untuk hidup dan sebagainya.
Saya juga merupakan salah seorang yang mempunyai pelbagai episod yang melibatkan anxiety, tekanan dan sebagainya.
Jadi, saya menulis lagu ini bukanlah untuk menggambarkan apa yang saya rasa tetapi adalah untuk memberikan ruang kepada orang di luar sana merasakan lagu ini juga untuk mereka.
Sekadar info, Nana kini sudah menapak dalam industri hiburan tanah air selama hampir 12 tahun selepas memulakan karier muziknya melalui platform YouTube pada 2011 dengan lagu hitsnya yang berjudul ‘Hantu atau Buaya’.
Pada 22 Oktober 2022 lalu, Nana telah pun mendirikan rumah tangga dengan Zikri yang juga merupakan seorang penerbit muzik.