Pelakon jelita Nazeera Sardi mengakui fokusnya lebih ke arah menyiapakan thesis PHD dan menjual sambal sejak kebelakangan ini.
Pada masa yang sama, Nazeera menafikan dakwaan bahawa dia sudah meninggalkan dunia lakonan.
Artikel Berkaitan: Nazmi Nordin Belum Puas Timba Pengalaman Hidup & Kerja Di Negara Orang
Artikel Berkaitan: Ezany Nizariff Kini Bergelar Pengarah Akademik, Hanya Berlakon Jika Ada Kelapangan Waktu
Masa & bayaran
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Nazeera memberitahu dia masih aktif berlakon. Cuma, ada kala dia akan meneliti naskhah terlebih dahulu serta soal bayaran dan masa sebelum mengambil projek drama mahupun filem.
Saya masih menjalani penggambaran. Projek terakhir yang saya buat ialah filem dengan arwah Mamat Khalid. Filem Hantu Lompat Di Kampung Pisang. Selain itu, saya juga menerima beberapa jemputan daripada RTM sebagai pelakon undangan.
Jadi saya menafikan dakwaan saya sudah berhenti berlakon. Cuma, kadang-kadang tawaran yang saya dapat tak bersesuaian dari segi masa dan bajet. Saya kena fikir terlebih dahulu.
Disoal sama ada kerap menerima tawaran lakonan yang harganya tidak bersesuaian, Nazeera menjawab tidak. Ujar Nazeera, soal bayaran akan jatuh nombor dua sekiranya naskhah dan watak yang diberikan kepadanya itu bagus.
Bajet saya ambil kisah juga, tapi kalau naskhah itu best dan karakter itu saya nak bawa…saya okey sahaja. Matlamat saya dalam karier seni ini mahu mencuba banyak karakter. Orang kenal saya menerusi filem Pagari Bulan. Filem itu memang mencabar buat saya sebab saya tak pernah bawa watak aksi yang memerlukan saya untuk berlawan. Jadi saya kena belajar dan berikan yang terbaik. Kalau dapat watak dari segi emosi yang heavy pun best juga.
Mahu jadi pensyarah
Selain soal bayaran, Nazeera turut mengakui faktor masa juga menjadi salah satu penyebab untuk dia berfikir sama ada mahu atau tidak untuk menerima sesebuah tawaran lakonan. Ini kerana, dia sedang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dalam bidang pengurusan perniagaan.
Sekarang ini saya seorang pelakon, peniaga dan pelajar. Pengurusan masa sangat penting untuk saya. Saya kena ada satu hari untuk fokus dan siapkan penulisan thesis agar tamat pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan. Saya ada lagi tiga semester iaitu satu tahun untuk menghabiskan pengajian.
Ditanya mengenai sumber kekuatan, Nazeera berkata, diri sendiri yang mendorong untuk bangkit dan berusaha setiap hari.
Di akhir temu bual, Nazeera tidak menafikan bahawa dia mahu menjadi seorang pensyarah selepas tamat PHD.
Saya ada fikir ke arah itu dan mahu menjadi pensyarah. Itu salah satu motif untuk saya sambung belajar. Lagipun ilmu ini kena berterusan. Apa yang saya buat sekarang ini pun sangat relate dengan perniagaan yang saya usahakan. Jadi tiada masalah.
Sekadar info, Nazeera antara selebriti yang akan meniaga dan memeriahkan Karnival Pemerkasaan Ekonomi 2024 yang akan diadakan pada 20 hingga 22 Disember 2024 di UTM Hotel & Residensi anjuran Khalifah World Global Sdn Bhd.