Pelakon dan pengacara Neelofa merancang untuk berhijrah ke tanah Arab bersama suami, Haris Ismail dan anak lelaki mereka, Muhammad Bilal.
Artikel Berkaitan: Berlakon Bukan Keutamaan, Neelofa Fokus Jaga Muhammad Bilal – ‘Saya Nak Jalankan Rutin Sebagai Ibu Itu Lebih Daripada Lain’
Dua tahun pindah
Menurut Neelofa, 33, dia akan mengikuti Haris atau dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz yang mahu melanjutkan pengajian di sana selama beberapa tahun.
Kata pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor, dia juga akan mengambil peluang untuk menguasai Bahasa Arab selain ingin mendedahkan Bilal dengan suasana di negara orang.
Kami sekeluarga mempunyai impian untuk berhijrah ke tanah arab sama ada Madinah atau Mesir untuk suami sambung belajar.
Pada masa yang sama, kami mahu dedahkan anak (Muhammad Bilal) kepada persekitaraan di sana dan saya boleh ambil peluang untuk belajar bahasa Arab. Sekejap saja la.. setahun dua.
Neelofa yang merupakan bekas hos program bual bicara Nona memberitahu perkara itu ketika menjadi tetamu jemputan sempena ulang tahun ke-38 TV3 pada Ahad.
Nak turunkan ilmu
Dalam pada itu, usahawan terkenal ini turut menyimpan hasrat untuk mendalami al-Quran agar dapat berkongsi ilmu kepada ramai orang dan menjadi bekalan saham di akhirat.
Satu lagi impian saya adalah untuk mendalami al-Quran. Walaupun suara saya tak sesedap mana ketika membaca al-Quran, tetapi saya sudah lama ingin mempelajarinya.
Kalau boleh mahu turunkan ilmu itu supaya dapat dijadikan saham akhirat kelak.
Untuk rekod, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac 2021. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan Muhammad Bilal pada 29 Januari lalu.
Sumber: Youtube TV3MALAYSIA Official