Umum tahu, pelakon dan pengacara Zulin Aziz sah bergelar isteri kepada rakan kongsi perniagaan, Farhan Norzaini di Masjid Negara, pada Ahad.
Artikel Berkaitan: ‘Farhan Terima Saya Seadanya Waktu Zaman Berisi’ – Zulin Aziz
Inspirasi dengan kisah hidup
Hanya disebabkan pernah tak jadi kahwin, Zulin, 33, mengaku menerima kiriman mesej (DM) di Instagram (IG) daripada wargamaya untuk mendapatkan nasihat mengenai ‘move on.’
Kata pemilik nama Farah Azleenda Abdul Aziz, antara soalan yang diajukan bagaimana dia mengatasi kekecewaan dan menjadi insan kuat.
Terlalu ramai orang yang tengah frust minta nasihat dari saya dekat DM. Tanya macam mana saya kuat, harungi kecewa. Minta saya doakan moga mereka bertemu dengan jodoh yang baik.
Mungkin mereka terinspirasi dengan kisah saya. Sebenarnya bukan saya saja yang lalui kisah sedih, Farhan pun sama, dua kali lalui fasa sama.
Jadi, saya ada selit (dekat entri) supaya mereka jangan putus asa, jangan tutup pintu hati. Kita tak tahu, kalau hari ini tutup pintu hati, mana tau esok Allah nak bagi jodoh.. kan dah rugi.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah, percaya setiap orang yang dilahirkan ada jodoh untuknya cuma tak tahu bila.
Berbaloi merana
Dalam pada itu, pelantun lagu Jadikan Aku Yang Halal menyifatkan sangat berbaloi dia mengharungi pahit manis kerana rezeki yang diterima langsung tidak pernah terlintas di fikiran.
Apa yang saya lalui sebelum ini.. kalau ini hadiahnya sangat berbaloi. Berbaloi saya menangis, berbaloi saya merana bertahun-tahun. Apa yang saya dapat hari ini, tak pernah bayangkan. Kalau dulu saya kahwin, tak akan dapat macam ini.
Rupanya Allah nak bagi yang terbaik. Perancangan Allah lebih baik, Dia lebih tahu.
Selepas bernikah pada sebelah pagi, pasangan sama padan sama cantik itu diraikan dalam sebuah majlis resepsi di Magica Grand Hall, Shah Alam.
Terdahulu, Zulin dan Farhan telah mengikat tali pertunangan pada 28 Januari lalu.