Terbaru, pelantikan Dato Prof Dr Abdul Razak Mohaideen sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas mengundang pelbagai reaksi daripada netizen. Rata-rata seakan tidak setuju dengan pelantikan tersebut.
Dapat pelbagai respon dan kritikan
Menerusi laman Twitter, rata-rata berpendapat karya filem dari Prof Razak seolah tiada kualiti. Mereka turut menyifatkan Prof Razak tidak mementingkan kualiti pengarahan, sebaliknya lebih pentingkan pulangan dan keuntungan.
Mereka juga mempersoalkan kriteria kelayakan untuk beliau menyandang jawatan tersebut. Netizen turut mengambil contoh filem Badang arahan Prof Razak yang mendapat pelbagai reaksi dan kritikan dari penonton.
Terkenang karya masterpiece
Tidak dinafikan karya-karya arahan Prof Razak terdahulu seperti Anak Mami Kembali, Duyung dan Mami Jarum mendapat sambutan positif. Penonton menyifatkan filem arahan beliau terdahulu sememangnya berkualiti dan menghiburkan.
Namun, berbalik kepada penghasilan karya-karya filem arahannya kini dilihat kurang kualiti jika dibandingkan dengan filemnya terdahulu. Netizen turut mengharapkan agar industri perfileman tempatan kembali bersinar.
Finas memacu semula ekonomi industri kreatif
Sementara itu, satu sidang media berkaitan industri kreatif turut dihadiri beberapa ahli lembaga Finas membincangkan mengenai kandungan kreatif bagi tahun 2030. Penularan pandemik Covid-19 turut menyebabkan industri kreatif terpaksa dihentikan buat seketika waktu. Sehubungan itu, ramai krew dan artis turut terkesan sumber pendapatan.
Finas masih merangka SOP bagi aktiviti penggambaran dan menunggu kelulusan dari Majlis Keselamatan Negara.
Bantuan kewangan kepada warga industri
Sehubungan itu, pihak Finas telah menyalurkan bantuan sebanyak RM120,000 kepada warga industri kreatif melalui badan NGO. Dalam sidang media itu, Finas turut mengumumkan senarai anggota Ahli Perbadanan yang telah dilantik oleh YB Menteri Komunikasi dan Multimedia. Perlantikan tersebut dikuatkuasakan dalam tempoh 2 tahun bermula 23 Mei 2020 hinggga 22 Mei 2022.
Sumber: Twitter