berita

Ning Baizura Bawa Anak Bernyanyi Di Atas Pentas

November 18th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Ning Baizura, Konsert Pelangi Untukmu-53

Sabtu lalu telah berlangsungnya konsert istimewa buat peminat setia Ning Baizura bertempat di TM Conversion Centre (TMCC), Kuala Lumpur.

Konsert yang berlangsung selama tiga jam tanpa henti itu telah dibanjiri hampir 1500 penonton dan rata-ratanya kelihatan sangat terhibur dengan persembahan mantap yang ditonjolkan oleh penyanyi bersuara soprano tersebut.

Malam yang bertemakan Kristal Hall itu telah menjanjikan satu persembahan yang cukup istimewa buat para peminat Ning, apabila penyanyi tersebut menampilkan putera sulungnya, Ryan Sky Dalton dan suami tercinta, Omar Sharif sebagai tetamu istimewanya, sewaktu mendendangkan tiga buah lagu yang amat bermakna buat mereka sekeluarga berjudul A Mother’s Prayer, Ibu serta lagu terbarunya, Pelangi Untukmu.

Ning Baizura, Konsert Pelangi Untukmu-65

Luahan kasih sayang seorang ibu menerusi lagu, Pelangi Untukmu

Berkongsi mengenai saat indahnya bergelar seorang ibu, Ning turut melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan sebuah keluarga yang cukup sempurna dan berdoa agar putera sulungnya itu akan membesar serta menjadi seorang insan yang berguna di masa akan datang.

Sewaktu mengandung, saya dapat rasakan ia adalah detik paling bermakna buat diri saya dan saya bersyukur kerana sepanjang proses kehamilan, saya tidak mengalami sebarang alahan.

Saya terima dengan redha dan sentiasa berdoa agar menjadi seorang ibu yang baik buat Ryan. Perkara ini juga akan sentiasa mengingatkan kepada diri saya, siapa saya yang sebenarnya.

Ning Baizura, Konsert Pelangi Untukmu-89

Ning terharu dengan sokongan peminat sepanjang 20 tahun bergelar anak seni

Sepanjang konsert berlangsung, Ning turut membawa para peminat mengimbau kembali kenangan indahnya sepanjang 20 tahun bergelar anak seni, dengan alunan lagu-lagu hitsnya seperti Asmara, Kau Dan Aku, Teguh, Selagi Ada, Pasti serta Bila.

Menurut Ning tanpa sokongan daripada peminat, tak mungkin dia mampu bertahan sehingga kini. Sebagai ucapan terima kasih, penyanyi tersebut sanggup menghiburkan semua tetamu yang hadir menerusi 23 buah lagu tanpa rehat, dengan iringan muzik yang diketuai oleh Aylwin Santiago serta lapan pemuzik profesional.

Ning Baizura, Konsert Pelangi Untukmu-39

Ning menggayakan busana rekaan Shime Mandagie

Untuk makluman, konsert ini turut dihadiri oleh rakan-rakan artis, antaranya Nurul Wahab, Zahida Rafik, Dafi, Shila Amzah serta Linda Onn sebagai pengacara.

Untuk peminat yang tidak berpeluang menyaksikan persembahan Ning Baizura di Konsert Pelangi Untukmu Sabtu lalu, di sini OHBULAN! kongsikan beberapa foto menarik sekitar konsert tersebut untuk tatapan anda semua. Jom layan!

SKIP THIS AD ×