berita

Ning Baizura & Suami Bercanggah Pilihan Mengenai Anak

September 20th, 2012 | by Ai
Kini Trending

Setelah hampir 5 tahun mendirikan rumah tangga bersama suami, Omar Sharif, akhirnya penyanyi kesukaan ramai, Ning Baizura telahpun disahkan mengandung oleh doktor.

Sewaktu ditemui di sesi ramah mesra bersama media semalam, Ning yang kelihatan lebih berisi dan gembira itu telah menyatakan bahawa dia bersyukur dengan rezeki yang telah Tuhan kurniakan padanya. Ning turut memberitahu bahawa kandungannya sudah menghampiri minggu yang ke-20.

“Minggu depan kandungan saya bakal masuk minggu ke-20, cukup 5 bulan. Alhamdulillah, saya bersyukur pada Tuhan kerana ini pertama kali saya bakal mempunyai anak dan yang ketiga bagi suami saya,” jelas penyanyi yang berusia 37 tahun ini

Bagi yang tidak tahu, suami Ning sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai 2 orang anak perempuan berusia 9 dan 10 tahun. Atas sebab itu, Ning dan suaminya, Omar Sharif bercanggah pendapat apabila Ning mahukan anak perempuan tetapi Omar pula mahukan anak lelaki.

“Kalau boleh saya mahukan anak perempuan, suami saya pula mahukan anak lelaki. Tapi kalau dapat anak lelaki pun saya tidak kisah dan tetap gembira,” tambah Ning Baizura.

Namun, walaupun sudah mencapai usia 5 bulan, sesi bertemu media yang sepatutnya menjadi jawapan kepada apakah jantina bayi Ning Baizura tetap tidak dapat diberi jawapan.

“Mungkin ramai yang mahu tahu apakah jantina bayi dalam kandungan saya. Walaupun dah banyak kali berjumpa doktor, kami sendiri masih tak tahu samada lelaki ataupun perempuan.”

Pertama kali mengandungkan anak juga tidak menjadi masalah buat Ning apabila dia tetap meneruskan kerjayanya namun hanya memperlahankan sedikit beban kerja dengan mengambil tawaran persembahan seminggu sekali.

“Sekarang seminggu sekali pun ada ‘show’, tapi saya tak nak kerja keras sebab tidak mahu beri tekanan pada bayi,” ujar Ning lagi.

Ning turut menyuarakan hasratnya jika ada pihak yang mahu mengambilnya sebagai duta atau apa saja berkaitan ibu mengandung, dia tidak keberatan untuk terlibat sama.

Dalam pada itu, Ning telah merakamkan 5-6 buah lagu untuk kanak-kanak dibawah syarikat rakaman Universal Music. Album yang bakal mempunyai campuran lagu baru dan lama itu kemungkinan akan dilancarkan ketika dia melahirkan anaknya yang pertama. Menurut Ning, bayinya dijangka akan dilahirkan sekitar pertengahan bulan Januari 2013.

SKIP THIS AD ×