Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mendakwa bekas isterinya, Mizz Nina dan suami bersama pihak berkuasa hadir ke rumah untuk mengambil anak angkat mereka, Musa.
Artikel Berkaitan: Noh Salleh Nafi Tuduhan Culik Anak Angkat, Harap Dapat Berdamai Dengan Mizz Nina
Artikel Berkaitan: Vokalis Kumpulan Terkenal Didakwa Berkomplot Dengan Pembantu Rumah Bawa Lari Anak?
Hancur hati saya
Menerusi hantaran di Instagram (IG) yang dimuat naik jam 11 malam, Noh berkata dia telah menyerahkan Musa kepada Mizz Nina pada Sabtu berikutan perintah interim dikeluarkan Mahkamah Syariah kepada usahawan dan aktivis kemanusiaan itu.
Meskipun berat untuk melepaskan Musa, Noh, 39, akur dengan keputusan mahkamah dan akan mendapat rujukan daripada peguam yang dilantik.
Terima kasih buat mereka yang mendoakan agar masa depan Musa terjamin harmoni. Buat pengetahuan umum, temubual bersama Melodi dijalankan pada 13 Januari lalu (Sabtu) pada jam lebih kurang 2.45 petang.
Namun, malam semalam (kelmarin), pada jam kira-kira 8.30 malam, Mizz Nina hadir di rumah saya bersama suami, anggota polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali untuk mengambil Musa daripada jagaan saya dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari Mahkamah Syariah sebelum sesi mediasi di mahkamah.
Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, saya dengan terpaksa dan berat hati menyerahkan Musa dan akan meminta nasihat peguam saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hancurnya hati saya.
Utamakan kesihatan anak
Dalam pada itu, pemilik nama Mohammad Noh Salleh Sadeli berkata tiada perebutan yang berlaku di antara mereka kerana percaya masih ada sinar pendamaian.
Tiada sebarang insiden perebutan berlaku kerana saya masih percaya dengan jalan perdamaian dan apa yang penting adalah kesihatan mental dan fizikal Musa.
Saya berharap kenyataan ini jelas dan tiada sebarang spekulasi daripada mana-mana pihak dan saya berterima kasih atas segala doa kalian.
Terdahulu, media melaporkan seorang pembantu rumah warga asing didakwa melarikan anak selebriti wanita dan kejadian itu didalangi bekas suaminya yang juga vokalis kumpulan terkenal.
Susulan itu, Noh tampil menjelaskan di Melodi dengan menafikan tuduhan yang dibuat bekas isterinya adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.
Dakwa Noh, dia mengambil anak angkatnya, Musa mengikut saluran undang-undang yang sah dan bukanlah menculik seperti yang didakwa.
Sekadar info, Noh dan Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman, 44, mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022 dan tidak dikurniakan zuriat.
Pada September lalu, Noh bernikah dengan Fatin Athira Mustapa. Manakala Mizz Nina pula mendirikan rumah tangga dengan penyanyi rap dan penulis lirik Amerika Syarikat (AS), Essam Muhammad pada suku kedua tahun 2023.
Sumber: Instagram