Pelakon veteran, Noor Kumalasari mendedahkan arwah Dharma Harun Al Rashid pernah mengalami kemurungan kira-kira sebulan sebelum meninggal dunia dan memilih untuk menyendiri daripada keluarga.

Artikel Berkaitan: ‘Tudung Macam ‘Daging’ Saya’ – Noor Kumalasari Titip Pesan, Niat Mesti Datang Dari Hati

Artikel Berkaitan: ‘Boleh Ke Umur Dah 69 Tahun Catwalk?’ – Noor Kumalasari Berbesar Hati Jadi ‘Muse’ Nafesa, Puji Dedikasi Said Saiful Fazli Buat Untuk Ibu

‘Down’

Ketika ditemui OhBulan!, pemilik nama Noor Kumalasari Mohamed Taib, 69, berkata perkara itu dikongsi oleh keluarga arwah sendiri.

Menurut bintang filem Adik Manja itu, sikap arwah mula berubah dengan menjadi lebih pendiam dan enggan bertemu sesiapa termasuk adik-beradiknya sendiri.

Baru-baru ini saya dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa sebulan yang lalu, arwah mengalami kemurungan. Dia jadi sangat ‘down’, sampai adik-beradik sendiri pun dia tak mahu jumpa.

Dia lebih banyak menyendiri dan mengurung diri. Jadi, ketika Syafiq (anak Dharma) pulang dari kolej dan bertemu dengannya, sebenarnya masa itu arwah baru sahaja melalui fasa kemurungan itu.

Noor Kumalasari berkata demikian ditemui selepas pengebumian Allahyarham Dharma di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, pada Rabu.

Tertekan

Bercerita lanjut, Noor Kumalasari berkata sebelum ini arwah juga pernah meluahkan rasa tertekan kerana sudah lama tidak bekerja.

Arwah pernah berkongsi, dia murung sebab sudah lama tidak bekerja. Dia memang jenis yang suka bekerja dan bergerak aktif.

Saya pernah nasihatkan dia, kalau rasa nak bekerja, ambil saja apa-apa kerja dalam industri perfileman. Tolong-tolong pun tak apa.

Walaupun tak dapat kerja tetap, pergilah ke set penggambaran sebab dia suka suasana orang seni. Sekurang-kurangnya, dia tak duduk di rumah dan terus tenggelam dalam kemurungan.

Alhamdulillah, selepas itu dia mula dapat rezeki.

Menceritakan kembali, Noor Kumalasari berkata dia sempat menziarahi arwah Dharma di kediamannya di Wangsa Majuvbersama penyanyi dan penyampai Kool 101, Haiza Hanafi pada Julai lalu.

Terdahulu, arwah Dharma dilapor meninggal dunia di kediamannya di Wangsa Maju pada malam Selasa.

Jenazah arwah Dharma selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves kira-kira pada jam 12.30 tengah hari semalam.