Selepas 27 hari hilang tanpa jejak, hari ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohammad Ashraf Hassan atau Acap akan dihentikan buat sementara waktu. Pencarian Acap yang hilang pada 23 Mac lalu ketika menyertai Gopeng Ultra Trail tidak menemui sebarang penemuan baharu.
Penduduk setempat pula cari Acap
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain, penangguhan sementara pencarian acap adalah bertujuan untuk mengehadkan pergerakan pencarian oleh orang ramai di kawasan berkenaan dan memberi ruang kepada penduduk setempat pula mengesan Acap.
Mangsa masih tidak ditemui walaupun SAR sudah menggunakan pelbagai kaedah terkini oleh pasukan yang berpengalaman selain perluasan kawasan pencarian dari 35 kilometer persegi kepada 48 kilometer persegi.
Penangguhan sementara ini akan membolehkan pasukan penyelamat merangka strategi lain yang mungkin boleh membantu mengesan mangsa berdasarkan kepada pengalaman kes seumpama ini yang pernah berlaku pada masa lalu.
Tiada langsung penemuan baru
Selain itu, penangguhan sementara itu juga disebabkan tiada petunjuk baru ditemui sepanjang SAR dijalankan.
Dalam meneruskan usaha pencarian (peringkat kedua), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membuka pusat operasi bomba di Kampung Pintu Padang selepas Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup pada 1 tengah hari, 30 Mac lalu.
Walau bagaimanapun, dari tempoh berkenaan sehingga ke hari ini, tiada petunjuk baru dapat dikesan atau diperoleh oleh pasukan pencari bagi merungkai kehilangan mangsa.
Sumber: Harian Metro