Dato’ Vida adalah usahawan yang tidak cukup dikenali kerana gelagatnya yang mencuit hati walaupun kadangkala tindak-tanduknya itu menerima kritikan hebat kerana dirasakan berlebih-lebihan dan melampau. Namun, kerana sebab itulah namanya menjadi sebutan dan produk jualannya laku keras.
Kontroversi turut terpalit dengan Vida apabila dilaporkan mengelak membayar cukai sebelum ini. Apa perkembangan terbaru kes itu agaknya?
Diarah bayar RM4 juta sebelum 21 Mei
Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini mengarahkan Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman untuk membayar cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun yang dituntut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM4.6 juta. Usahawan berkenaan perlu membuat pembayaran sebelum 21 Mei depan.
Vida dikehendaki membayar kepada LHDN mengikut Subseksyen 91(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun taksiran 2011 hingga 2015 berjumlah RM4,686,435.79.
Vida, LHDN pernah berbincang namun gagal
Namun begitu, Vida tidak hadir di mahkamah dan diwakili peguam, Zailan Mohamed. Menurut peguam itu, pihaknya akan membuat perbincangan dengan LHDN bagi membuat penstrukturan semula bayaran bagi membolehkan anak guamnya membayar dalam tempoh ditetapkan mahkamah.
Sementara itu, peguam LHDN, Nor Hidayah menjelaskan LHDN sebelum ini ada mengadakan perbincangan dengan Vida namun usahawan itu gagal mematuhi perbincangan bersama yang dibuat sebelum ini berhubung bayaran cukai secara ansuran dan menyebabkan tuntutan dibuat di mahkamah.
Sumber: Kosmo! Online