Penyebaran berita palsu berkaitan penularan wabak koronavirus dilihat semakin membimbangkan. Hal ini kerana rakyat Malaysia terlalu mudah percaya dengan apa jua penyebaran yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab di media sosial.
Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa tempatan sedang giat mengenal pasti individu yang menyebarkan berita palsu berhubung isu tersebut. Menerusi MalaysiaKini, seorang suspek telah berjaya ditahan dan bakal berhadapan dengan hukuman berat jika dia didapati bersalah menyebarkan berita palsu.
Denda RM50000 atau penjara setahun
Seorang suspek yang berusia 34 tahun telah ditahan di rumahnya di Bangi, Selangor. Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali. Suspek turut boleh dikenakan denda lanjutan RM1000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas persabitan.
Amaran keras kepada penyebar berita palsu
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), suspek didapati terlibat dalam memuat naik berita palsu di Facebook pada 26 Januari yang lalu.
Turut dirampas ialah telefon bimbit dan kad sim milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut.
Tindakan ini diambil sebagai satu langkah MCMC dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membendung penyebaran berita palsu mengenai wabak koronavirus ini. Tambahnya lagi, amaran keras turut telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agar tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menakutkan rakyat.
Tiga lagi suspek masih dicari
Selain itu, MCMC dan PDRM masih giat mencari baki tiga orang suspek lain untuk membantu siasatan berhubung kes ini.
Penyebar khabar angin atau berita dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam pula boleh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Tambah lagi, pihak berkuasa tempatan tegas dalam menangani berita palsu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang memulakannya lebih-lebih lagi menerusi media sosial.
Sumber: MalaysiaKini