Gara-gara ingin menyambut Syawal bersama keluarga di kampung, seorang penjawat awam telah didenda sebanyak RM1800 akibat memalsukan dokumen kebenaran merentas negeri. Menurut laporan Awani, pada mulanya tertuduh memberi alasan menghantar ubat kepada bapanya di Pendang, Alor Setar dan perlu pulang semula ke Putrajaya pada 17 Mei. Namun, dia menukar tarikh pada surat tersebut kepada 26 Mei.
Palsukan tarikh surat kebenaran
Tertuduh, Mohd Norhisham Ismail kemudiannya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang untuk memohon surat kebenaran rentas negeri dari Pendang ke Putrajaya. Namun pihak polis mengesyaki sesuatu yang mencurigakan pada surat kebenaran dari Putrajaya. Hasil siasatan mendapati surat berkenaan telah dipalsukan.
Keluarga turut tidak dibenarkan pulang
Mahkamah Majistret Alor Setar, telah menjatuhkan hukuman sebaik tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah. Mengikut pertuduhan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 177 Kanun Keseksaan. Berikutan itu, dia dan keluarga tidak dibenarkan pulang ke Putrajaya sehingga siasatan kes selesai.
Sumber: Awani