Drama ‘Kau Cipta Kasih’ lakonan Uyaina Arshad dan Nazim Othman bakal melabuhkan tirainya malam ini. Bagi pengikut setia drama ini, korang pasti puas hati tonton episod separuh akhir semalam kan? Mana taknya, segala perbuatan jahat Pak Samad (Sahronizam) terhadap anak sulungnya, Khadijah (Uyaina Arshad) akhirnya terbongkar.
Artikel berkaitan: ‘Akak Minta Maaf Sebab Tak Hubungi Sesiapa, Akak Tak Sanggup Ris’ – Babak Uyaina Arshad Cari ‘Wali’ & Dengar Luahan Rindu Adik Dalam ‘Kau Cipta Kasih’ Buat Penonton Sebak!
Tak serik nak rogol lagi
Pernah rogol anak sendiri (Khadijah) sehingga wanita tersebut hamil, Pak Samad kelihatan masih tidak serik untuk merogol anak saudara isteri keduanya pula iaitu Sari. Dalam episod semalam, cubaan Pak Samad untuk merogol Sari tidak berjaya kerana wanita tersebut mahir dalam ilmu mempertahankan diri. Kehebatan ber’taekwando’ yang dimiliki oleh Sari berjaya membuatkan Pak Samad jatuh daripada rumah sehingga kakinya sakit. Susulan daripada itu, isteri keduanya turut menghalaunya keluar dari rumah selepas mendengar pengakuan yang diceritakan oleh Sari.
Sepanjang perjalanan pulang ke rumah isteri pertama, Pak Samad telah terlibat dalam sebuah kemalangan. Menurut doktor, keadaannya sangat kritikal. Mendengar penjelasan doktor, Idris (Nafiz Muaz) anak kedua dilahirkan dengan kecacatan di kaki membuat keputusan untuk menjaga dan membawa ayahnya itu pulang ke rumah.
Semasa berada di rumah, Sabariah (Sherie Merlis) memaafkan semua kesalahan yang pernah dilakukan oleh suaminya. Ujar Sabariah, kedua-dua mereka mempunyai dosa terhadap anak-anak. Anak yang dianggap cacat dan membawa malang kepada keluarga itu merupakan anak yang soleh dan sentiasa berada di sisi mereka tatkala kedua-duanya tidak sihat.
Sempat buat pengakuan
Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Pak Samad sempat bercakap beberapa perkara dengan isterinya. Menurut Pak Samad, dia mahu berjumpa dengan dua orang anaknya iaitu Idris dan Khadijah. Jelasnya, dia mempunyai banyak dosa terhadap kedua-dua anaknya itu. Sedih melihat keadaan suami tercinta yang sedang nazak, Sabariah memberitahu bahawa anak mereka Idris sudah memaafkan kesalahan mereka berdua. Cuma, Khadijah sahaja yang masih belum pulang ke rumah.
Mendengar mengenai hal tersebut, Samad akhirnya membuka mulut dan membuat pengakuan bahawa dia telah merogol Khadijah sehingga hamil. Sebagai bapa, dia menyesal melakukan perbuatan tersebut dan ingin memohon maaf. Namun, siapa sangka permintaan terakhir untuk berjumpa Khadijah tidak kesampaian kerana ajalnya telah tiba dahulu.
Korang rasa episod malam ini Khadijah akan pulang semula ke kampung halaman dan memberitahu suaminya mengenai hal sebenar atau tak? Apapun, nantikan episod akhir drama ‘Kau Cipta Kasih’ malam ini di TV3!