Ini merupakan tahun kedua kita terpaksa beraya dalam situasi negara menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Mei hingga 17 Jun 2021. Sudah pasti umat Islam di Malaysia tidak berpeluang menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid mahupun surau berdekatan.
Walau bagaimanapun, jangan khuatir kerana solat sunat Aidilfitri masih lagi boleh ditunaikan dengan hanya berada di rumah. Ikuti langkah-langkah yang dikongsikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI ini untuk anda dan keluarga sama-sama solat berjemaah ataupun bersendirian di rumah nanti.
Niat solat sunat Aidilfitri
- Mulakan dengan lafaz niat sahaja aku solat sunat Aidifitri menjadi (imam/makmum) kerana Allah Ta’ala.
- Selepas takbirratul ihram, mulakan dengan bacaan doa iftitah.
7 kali takbir, 6 kali tasbih
- Selepas bacaan doa iftitah, takbir ‘Allahu Akbar’ sebanyak 7 kali diselangi dengan bacaan tasbih ‘Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu akbar’ secara perlahan.
- Apabila selesai takbir sebanyak 7 kali, baca Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan apa sahaja surah yang pendek.
- Kemudian solat seperti biasa sehingga rakaat kedua.
Rakaat kedua 5 kali takbir, 4 kali tasbih
- Sebaik sahaja bangkit dari sujud dan menuju rakaat kedua dengan takbir ‘Allahu Akbar’, imam dan makum perlu terus bertakbir sebanyak 5 kali diselangi dengan bacaan tasbih sama seperti rakaat yang pertama.
- Cukup 5 kali takbir diselangi 4 kali tasbih, teruskan solat dengan membaca Surah Al-Fatihah dan kemudiannya diikuti dengan apa sahaja surah yang pendek.
- Solat seperti biasa sehingga tahiyyat akhir dan memberi salam.
- Maka dengan ini sudah selesailah solat sunat Aidilfitri.
Khutbah ringkas
Pada khutbah pertama:
- Ucap ‘Alhamdulillah’
- Baca selawat ‘Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad’.
- Pesan kepada makmum untuk bertaqwa: ‘Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah’.
- Baca satu potongan ayat Al-Quran: ‘Inna a’thoinakal kausar. Fasolli lirabbika wanhar. Inna syaniaka huwal abtar’
- Sekian khutbah pertama. Kemudian duduk la sekejap.
Pada khutbah kedua:
- Ucap ‘Alhamdulillah’
- Baca selawat ‘Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad’
- Pesan kepada makmum untuk bertaqwa: ‘Marilah kita semua meningkatkan taqwa kita kepada Allah’.
- Baca 1 potong ayat Al-Quran: ‘Qul huwallahu Ahad. Allahus somad. Lam yalid walam yulad. Walam yakullahu kufuwan ahad’.
- Baca doa untuk seluruh orang Islam: ‘Ya Allah selamatkan kami semua dari Corona Virus. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat’.
- Selesai