berita

Pasangan Dah Ajak Kahwin? Rileks, Ini 5 Tips Menyimpan Untuk Kahwin Cepat

November 5th, 2020 | by AnisAffandi
Kini Trending

Foto: @journeyoftwinkletoes

Ramai orang impikan untuk mendirikan rumah tangga dan majlis perkahwinan yang meriah. Bagaimanapun ramai juga yang menghadapi kesukaran kerana tidak mempunyai cara yang betul dalam menabung. Majlis perkahwinan semestinya memerlukan perbelanjaan yang besar termasuk hantaran, kenduri, dan pakaian pengantin.

Menyimpan duit untuk berkahwin bukanlah perkara yang mudah tetapi jika dibuat dengan motivasi yang tinggi, matlamat tabung anda boleh tercapai. Ini antara tips dan cara berkesan yang anda semua boleh ikut jika mahu kumpul duit kahwin!

Hapuskan hutang

Foto: Fora Financial

Dengan menghapuskan hutang, anda boleh menyimpan duit dengan tenang kerana tidak perlu berfikir tentang hutang yang belum diselesaikan. Ini adalah cara pantas untuk menyimpan duit kerana duit belanja bulanan yang berlebihan boleh dimasukkan ke dalam tabung kahwin.

Hutang merupakan risiko dalam proses menabung kerana ia menghakis duit simpanan secara perlahan. Tanpa kita sedar, hutang sudah pun menimbun. Selain itu, anda perlu bijak membezakan antara kehendak dan keperluan. Berbelanja mengikut kemampuan, tepuk dada tanya selera.

Simpan rekod perbelanjaan

Foto: Crazy Laura

Dengan menyimpan rekod perbelanjaan, anda dapat mengesan ke mana perbelanjaan yang tidak sepatutnya keluar dan berapa banyak yang anda belanjakan. Cara ini dapat membantu anda untuk memastikan keutamaan anda dan elakkan berbelanja untuk perkara yang tidak penting.

Sediakan satu buku nota ataupun gunakan aplikasi yang ada di telefon pintar untuk menyimpan rekod perbelanjaan anda. Dengan cara ini, anda akan menjadi lebih tekad untuk menjayakan matlamat anda.

Tetapkan bajet untuk berkahwin

Foto: Wedpedia

Mempunyai bajet untuk simpanan adalah lebih baik kerana dengan adanya bajet, anda akan menjadi lebih fokus untuk mencapai matlamat. Tetapkan berapa banyak duit untuk disimpan dalam sehari, seminggu atau sebulan.

Dengan cara ini, anda boleh merancang dan menyusun perbelanjaan harian dan bulanan yang lain. Sebagai contoh, jika sasaran duit kahwin anda ialah RM24,000 dan anda boleh menyimpan RM1,000 sebulan, maka anda memerlukan masa dua tahun untuk mencapai matlamat. Tapi ingat, menyimpan jangan sampai tak makan pula! Perlu menyimpan mengikut kemampuan.

Tentukan tarikh sasaran perkahwinan

Foto: Hong Kong Tatler

Tentukan tarikh sasaran untuk anda berkahwin, ia menjadi lebih mudah apabila anda tahu jangka menyimpan duit supaya ia menjadi lebih efisien. Dinasihatkan mula menyimpan duit dua tahun sebelum tarikh sasaran. Mungkin terlalu awal, tetapi simpanan haruslah bermula seawal yang boleh.

Seandainya anda mengejar masa kahwin, anda mungkin boleh menyimpan bersama pasangan demi membina masjid bersama. Sudah tentu apabila dua orang menyimpan, tempoh untuk tabung mencapai matlamat lebih cepat. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Cari sumber pendapatan tambahan

Foto: Bondora

Dinasihatkan supaya jangan bergantung kepada satu pendapatan sahaja, kerana ia mempunyai risiko yang tinggi untuk gagal dalam menabung. Pada zaman ini, ada banyak peluang untuk membuat pendapatan tambahan lebih-lebih lagi dengan menggunakan internet. Anda boleh cuba untuk mencari pendapatan tambahan seperti membuat bisnes online dropship, penghantar makanan dan banyak lagi.

Dengan sumber pendapatan tambahan, anda dapat menabung dengan lebih cepat kerana dapat menampung sedikit sebanyak perbelanjaan bulanan anda.

Sumber: @jurugambar.nikah, The Rohani.

SKIP THIS AD ×