Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia telah mencecah angka 3662 kes dan telah menyebabkan 61 kes kematian. Angka ini sememangnya membimbangkan rakyat Malaysia walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan.
Terbaru, menurut laporan Awani, Astro Malaysia telah mengesahkan bahawa salah seorang kakitangan mereka telah disahkan positif Covid-19.
Kenal pasti kontak rapat pesakit
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan jurucakap Astro, pekerja yang didapati positif wabak berikut merupakan seorang pekerja yang bertugas dalam pasukan pengangkutan jurutera siaran luar di ibu pejabat di Bukit Jalil. Dia didapati positif selepas melakukan ujian saringan pada 5 April lalu dan kini sedang dirawat di sebuah hospital kerajaan.
Selain itu pihak Astro turut menegaskan bahawa tiada gangguan dalam mana-mana operasi penyiaran dan pelanggan masih boleh menikmati perkhidmatan seperti biasa. Pada masa yang sama, pihak Astro turut sedang berusaha mengenal pasti kontak rapat yang berhubung dengan pekerja tersebut.
Tutup sementara lakukan sanitasi
Astro komited dengan langkah-langkah keselamatan di pejabat untuk memastikan pekerja kami selamat.
Langkah tersebut termasuk peningkatan kekerapan dan tahap pembersihan pejabat, menyediakan bahan pembasmi kuman, mengalakkan penjarakan sosial di kafe dan dalam lif, mengambil suhu pekerja ketika memasuki premis dan membatalkan rancangan siaran langsung.
Tambahnya lagi, kesihatan dan keselamatan pekerja sentiasa menjadi keutamaan. Oleh itu, pihak pengurusan Astro turut mengambil langkah proaktif dengan menutup sementara pusat penyiaran di Bukit Jalil bagi tujuan kerja sanitasi (pembersihan) atau nyah kuman.
Sumber: Awani