Seorang pekerja restoran meninggal dunia selepas sebuah bungkusan yang diletakkan di atas keretanya meletup di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Pandan Indah, malam semalam (Khamis).
Artikel Berkaitan: Tertelan Bateri Yang Kini Dah Meletup Dalam Badan, Budak 2 Tahun Bertarung Nyawa Di Hospital
Artikel Berkaitan: Pengecas Telefon Terbakar & Meletup, Wanita Melecur Tahap 1 & 2
Tiba-tiba meletup
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, bungkusan plastik berkenaan dipercayai meletup secara tiba-tiba sebaik saja mangsa memegangnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam, mangsa yang berusia 28 tahun dilaporkan mahu mengalih sebuah bungkusan diletakkan di atas keretanya jenis Toyota Corolla Altis, selepas dimaklumkan oleh rakan sekerja mengenai bungkusan tersebut.
Sementara itu, mangsa, merupakan lelaki warga tempatan yang bertugas sebagai tukang masak dilapor mengalami kecederaan serius pada tubuh badan dan tangan.
Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang oleh orang awam, namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan. Malah, letupan itu turut mengakibatkan bahagian hadapan kereta mangsa terbakar.
Jelas Farouk, siasatan yang dijalankan di tempat kejadian juga menemui beberapa kesan akibat letupan pada kereta mangsa dan polis turut menemui beberapa objek dipercayai bahan letupan yang digunakan, berhampiran lokasi kejadian.
Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian