Kes membabitkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak nampaknya semakin kerap berlaku pada hari ini. Tanpa ada rasa sedikit pun belas kasihan, golongan ini sering dijadikan mangsa bagi memuaskan nafsu diri sendiri sehingga membuatkan mangsa menjadi trauma.
Terbaru, menerusi laporan Harian Metro, seorang kanak-kanak berusia 14 tahun mendakwa telah menjadi mangsa gangguan seksual beberapa rakan asramanya sehingga mengalami kesakitan di seluruh anggota badan.
Dilakukan oleh 7 rakan asrama
Menurut laporan portal itu, pelajar tersebut yang bersekolah di sebuah sekolah menengah di Marang mendakwa dirinya sering dipaksa melakukan seks oral oleh 7 rakan asramanya.
Tidak cukup dengan itu, mangsa juga turut diugut akan dibelasah sekiranya enggan menurut arahan yang diberikan.
Mangsa juga mendakwa diugut akan dicederakan sekiranya menceritakan kejadian itu kepada orang lain termasuk warden dan pihak sekolah.
Terbongkar selepas beritahu ibu
Tragedi yang menimpa diri mangsa itu semuanya terbongkar apabila dia membuka mulut dan menceritakan perkara tersebut kepada ibunya yang sedang melawat dirinya di asrama baru-baru ini.
Terkejut dengan cerita yang diberitahu anaknya itu, sumber memberitahu wanita tersebut kemudian membawa anaknya untuk melakukan pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa.
Daripada pemeriksaan yang dijalankan, beberapa kesan lebam telah ditemui di bahagian perutnya. Malah mangsa juga mendakwa dia sakit di seluruh anggota badan dan punggungnya.
Susulan daripada kejadian itu, ibu mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro