Sebelum ini, menjadi perbualan ramai mengenai seorang pelajar cemerlang berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara tetapi dia terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana punyai kekangan kewangan. Kisah Nurul Asma Alya ditawarkan pengajian peringkat ijazah dalam bidang perakaunan itu bagaimanapun telah mencuri perhatian pendakwah bebas iaitu Ebit Lew bagi menghulurkan bantuan.
Ebit Lew menerusi postingnya di laman Facebook memaklumkan akan menaja kos pengajian sepenuhnya kepada pelajar dari Tumpat, Kelantan itu termasuk juga kos penginapan.
Pelajar cemerlang MRSM
Ebit Lew berpeluang menziarahi kediaman keluarga pelajar berkenaan di Tumpat. Sebelum ini, dia mengambil maklum bahawa Nurul Asma Alya merupakan salah seorang pelajar cemerlang ketika menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tumpat dan mendapat keputusan cemerlang ketika melanjutkan pelajaran peringkat diploma ke Kolej Profesional Mara.
Pagi ini ke Tumpat. Saya sampai dekat pintu terus adik Nurul Asma Alya dan maknya menangis kuat. Ya Allah doa saya terkabulkan. Saya terbaca kisah adik ini pelajar MRSM Tumpat cemerlang. Kemudian diploma in accounting KPM dapat 3.95. Tak mampu nak sambung Association of chartered certified accountants (ACCA).
Taja RM40 ribu termasuk penginapan
Selain itu, Ebit Lew turut akan menaja kos pembelajaran pelajar ini dengan anggaran sebanyak RM40ribu termasuk penginapan bagi tempoh dua tahun setengah. Urusan kemasukannya juga sudah dibincang dengan pihak universiti dan dia bakal melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pada bulan April 2021 ini.
Saya akan taja penuh RM 40 ribu lebih untuk 2 tahun setengah termasuk penginapan. Tadi saya dah call universiti dan mereka terima kemasukannya bulan April. Kami hadiahkan juga laptop dan router serta WiFi. WiFi oleh Digi free setahun. Berita sedikit duit sumbangan buat mak adik ini. Saya jadi sedih sebab keluarga ni asyik menangis cakap terima kasih. Semoga adik esok-esok dapat bahagiakan mak dan bantu ramai orang di luar sana ye.
Sebelum ini, media melaporkan keluarga Nurul Asma Alya mengalami masalah berdepan ketiadaan beras dan lauk di rumahnya. Tambahnya, penutupan kantin sekolah pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ibunya tidak dapat bekerja.
Dia juga tidak dapat menduduki peperiksaan International English Language Testing System (IELTS) yang perlu dibayar dengan harga RM800 pada Oktober tahun lepas.
Sumber: Ebit Lew