Sudah lama wajah Sheera Iskandar tidak muncul di kaca TV. Dahulunya watak “Halimah Jongang” yang dibawakan olehnya merupakan satu fenomena yang sering diperkatakan oleh peminat-peminat drama tempatan.
Namun begitu, ketika bertemu di Majlis Rumah Terbuka Media Prima petang semalam, Sheera Iskandar ada memaklumkan bahwa kini dia sedang sibuk membantu adiknya menguruskan perniagaan pakaian.
“Sekarang ini, saya ada la tolong adik buat perniagaan baju sikit-sikit. Tapi tak berapa nak amik tahu sangat, sebab semua tu adik yang uruskan. Lagipun adik saya belajar lagi dekat UiTM, dia ambil kursus Senireka Fesyen, sebab tu la perniagaan ini kami buat sambilan sahaja,” ulas Sheera sambil tersenyum.
Ketika sesi temubual berlangsung, pihak OHBULAN! sempat bertanyakan soalan, bilakah dia akan mendirikan rumah tangga, memandangkan umurnya kini sudang menganjak ke usia 27 tahun.
Lantas, dengan tersenyum Sheera menjawab, Insyallah dia akan mendirikan rumah tangga tahun hadapan. Namun begitu, semuanya belum dibincangkan lagi.
“Insyallah, mungkin saya akan kahwin tahun depan. Tapi, semuanya belum pasti lagi sebab saya nak betul-betul bersedia dan kena ambil masa sedikit untuk fikir dan pertimbangkan bab-bab sebegitu.Lagipun, saya tak nak cita lebih-lebih bab macam ini. Takut orang muak pulak,” ujar Sheera sambil tergelak.
Merujuk kepada pengalam sambutan lebarannya kali ini, Sheera memaklumkan bahawa tahun ini dia dan keluarga menyambut lebaran di Singapura dan ini merupakan lebaran yang penuh bermakna buat dirinya. Selain itu, Sheera turut berkongsi sedikit pengalamannya sewaktu menyambut lebaran di zaman kanak-kanak.
“Tahun ini amat bermakna bagi diri saya sebab dapat berjumpa dengan saudara mara yang memang tak pernah jumpa sebelum ini. Maknanya sejak saya lahir memang tak pernah jumpa dan ini adalah kali pertama berjumpa. Sebab tu saya gembira sangat. Lagipun raya dekat Singapura seronok sebab selagi belum kahwin, selagi itu la kita boleh dapat duit raya.”
“Kalau nak tahu, masa zaman kanak-kanak dulu, baju raya saya sampai berbelas-belas pasang dan semuanya akan siap gantung dalam kereta. Mama (Aznah Hamid) saya buat macam tu, sebab setiap kali raya, tidak sah kalau baju raya saya tak kene kuah atau koyak. Memang macam tu la setiap tahun, sampai la saya tingkatan dua,” ujar gadis manis ini.
Merujuk kepada perkembangan terbaru, Sheera Iskandar bakal muncul dalam drama bersiri TV3 di Slot Zehra berjudul “Runtun Qalbu.” Antara barisan pelakon yang turut membintangi drama tersebut adalah Kamal Adli dan Fasha Sandha.