Baru-baru ini viral di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup di Jalan Dato Keramat, Georgetown yang memaparkan sebuah kereta jenis Honda Accord merempuh penunggang motosikal sehingga menyebabkan mangsa maut.
Mangsa yang merupakan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu kereta tersebut merupakan wanita warga China didakwa mabuk ketika memandu telah direman polis dan dibicara.
Mengaku tidak bersalah
Pemilik Gerai Bubur Kambli's yang terkenal di George Town,Mohaidin Gani Mohamad,58, maut selepas dirempuh dari belakang oleh pemandu wanita,24 tahun,warga China yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk. Kejadian di persimpangan lampu isyarat, Datuk Keramat jam 6.50am. @NewsMPB pic.twitter.com/T8cyIrxp5t
— Selwam Arjunan (@SelwamNewsMPB) October 25, 2019
Menurut Harian Metro, wanita tersebut mengaku tidak bersalah apabila dihadapkan pertuduhan di Mahkamah Majistret Georgetown atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
Tertuduh warga China, Liu Shahsha mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Rosnee Mohd Radzuan. Dia didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga tidak berdaya mengawal kenderaan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal pada jam 6.25 pagi.
Hukuman penjara tidak lebih 10 tahun
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun. Seksyen itu juga memperuntukkan denda tidak kurang RM8,000 hingga RM20,000.
Majistret turut tidak membenarkan tertuduh sebarang jaminan dan menetapkan 8 November ini sebagai tarikh sebutan semula untuk pengesahan ketulenan pasportnya daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Rakan suspek mengaku bersalah
Selain itu, rakan tertuduh yang merupakan pemilik kenderaan tersebut mengaku bersalah atas kesalahan membenarkan kenderaanya dipandu Liu. Rakannya, Garrett Lim Nian Siang yang duduk di tempat penumpang hadapan kereta tersebut ketika kejadian. Dia kemudiannya dijatuhkan hukuman denda RM1500 mengikut Seksyen 26 APJ 1987 pada waktu dan tempat yang sama.
Sumber: Harian Metro