
Watak ikonik Usop Wilcha ternyata masih segar dalam ingatan penonton walaupun sudah lebih sedekad filem Hantu Kak Limah Balik Rumah ditayangkan.
Artikel Berkaitan: Usop Wilcha Bakal Tinggalkan Hot.fm Hujung Bulan Ini
Artikel Berkaitan: Zarif Ghazzi Kerap Sakit Sebelum ‘Shooting’, Nafi Ada Pihak Dengki – ‘Hidung Berdarah, Demam & Sakit Mata’
Watak ikonik

Menurut pelakon watak tersebut, Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail, 59, sambutan luar biasa terhadap karakter itu masih dirasai hingga ke hari ini.
Malah, Syed memberitahu peminat kerap memintanya ‘menghidupkan’ kembali gaya dan suara Usop Wilcha setiap kali muncul di media sosial.
Setiap kali saya buat siaran langsung, mesti ada yang suruh saya cakap macam Usop Wilcha, minta saya buat ‘kita bakor… kita bakor’. Bila saya tak layan, ada yang cakap saya serius sangat.
Mereka kena faham, takkan setiap kali saya nak ulang watak sama. Saya pun takut orang meluat. Tapi saya tahu, peminat yang faham, takkan paksa.
Syed berkata demikian ketika ditemui di sidang media drama terbitan Viu Malaysia, Abang Imam Minah Skuter yang diadakan baru-baru ini.
Tambah Syed, karakter Usop Wilcha bukan sahaja melekat dalam memori penonton, malah mendakwa sesetengah produksi berasa kurang yakin memberikan watak lebih serius kepadanya.
Bagaimanapun, Syed tidak berkecil hati, sebaliknya memahami keperluan produksi mencari pelakon bersesuaian dan memiliki nilai komersial bagi menjayakan sesebuah watak.
Watak Usop Wilcha terlalu kuat. Sampai ada produksi teragak-agak nak beri saya watak Tan Sri atau penjahat. Mereka takut penonton tak boleh ‘belah’ dengan wajah Usop Wilcha.
Tapi saya faham keadaan produser, mereka yang keluarkan duit. Semestinya mereka mencari pelakon yang ada nilai komersial untuk membawakan watak tertentu.
Saya hormati pendirian mereka dan saya pun hanya akan berlakon dengan orang yang perlukan khidmat saya. Untuk saya menelefon produksi supaya berikan saya ‘job’ memang takkan saya lakukan sama sekali.
Dalam perkembangan lain, Syed muncul dalam drama komedi romantik Abang Imam Minah Skuter yang sudah mula ditayangkan di platform Viu pada 24 Julai lalu.
Drama 12 episod itu turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Bella Dowanna, Zulin Aziz, Sharifah Rose, Marc Sadique, Amir Haikal, Khai Bahar, Kazar Saisi, Acong Sweetchild dan Man Raja Lawak.






