Pada Mei tahun lalu, seramai 1.8 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang patut membuat bayaran balik telah ‘bebas’ untuk ke luar negara, memperbaharui atau membuat pasport baharu tanpa sekatan imigresen. Ianya adalah sejajar dengan janji 100 hari manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Namun, hari ini pihak PTPTN telah mengeluarkan kenyataan mungkin akan memperkenalkan semula sekatan tersebut.
Mungkin akan sekat semula
Menerusi laporan Kinitv, Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid dalam satu taklimat menyatakan cadangan sekatan itu diperkenalkan semula terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman sekiranya ia dimahukan oleh orang ramai.
Hal ini kerana, pada mula pemansuhan senarai hitam dilakukan tahun lalu, ada pihak yang bersuara tidak bersetuju kerana dianggap tidak adil bagi mereka yang sudah menjelaskan bayaran PTPTN.
Ada yang memberi pandangan bahawa ‘kami ini membayar secara berdisiplin dan bayar setiap bulan, tetapi kerajaan memberi keistimewaan kepada mereka yang tidak membayar. Kami yang membayar tidak dapat insentif, tetapi yang tidak membayar pula diberi pelepasan’.
Tindakan tegas bagi mereka yang culas
Katanya lagi, mungkin selepas ini pihak PTPTN akan mengambil tindakan yang tegas bagi peminjam yang culas dan tidak langsung membuat pembayaran.
Bagi peminjam yang culas dan tidak pernah bayar walaupun mampu, perlu ada tindakan atau sekatan yang tegas kepada mereka untuk memastikan mereka berdisiplin, bertanggungjawab demi masa depan peminjam masa akan datang.
Selain itu, pihak perbadanan juga sedang melihat beberapa cadangan lain untuk mengutip baki pinjaman pendidikan termasuklah menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan. Namun ianya akan diputuskan oleh pihak kementerian.
Sumber: Kinitv