Kebimbangan penduduk Felda Palong, Negeri Sembilan yang mendakwa terminum ‘air mayat’ telah mendapat perhatian Mufti negeri tersebut. Ia berikutan penemuan tengkorak dan beberapa cebisan daging dipercayai mayat lelaki di dalam tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).
Hukumnya harus
Menurut Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, penduduk tidak perlu berasa khuatir jika terminum air terawat tersebut kerana hukum meminumnya selama mana tidak diketahui adalah harus.
Dalam masalah seperti ini, penduduk yang terminum air bercampur daripada mayat diharuskan. Jika mereka tahu lebih awal, mereka tentu tidak meminumnya.
Jika sudah hancur, cebisan daging mayat yang bercampur sedikit air akan menjadi najis. Bagi air yang banyak, ia juga menjadi najis apabila berubah warna, bau dan rasa.
Perlu bersihkan tangki dengan cara betul
Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa pihak berkuasa perlu mengosongkan keseluruhan air sebelum membasuh tangki dengan menggunakan air mutlak atau air biasa.
Ketika pembersihan dilakukan, ia perlu dipastikan tiada lagi perubahan warna, bau dan rasa.
Pada Isnin lalu, pekerja SAINS yang melakukan pemantauan paras air telah menemui objek seperti mayat terapung dalam tangki air. Hasil siasatan, mayat tersebut dilaporkan hilang kira-kira lapan bulan lalu.
Sumber: Harian Metro