Pada anda yang sedang ataupun pernah membaca novel cinta tulisan Ahadiat Akashah berjudul “Lagenda Budak Setan”, anda pasti sudah tahu bukan bagaimana jalan cerita dalam filemnya selepas ini? Namun, kita semua tahu, menonton dan membaca adalah dua benda berlainan yang akan memberikan pengalaman berbeza pada pengikut setia novel bersiri “Lagenda Budak Setan” ini.
Filem “Lagenda Budak Setan” sebelum ini telah mencatat kutipan lebih dari RM4 juta dan kali ini, daripada penerbit filem yang turut menerbitkan filem ‘Ombak Rindu’ dan juga ‘Untuk Tiga Hari’, Sharad Sharan telah meletakkan sasaran RM20 juta untuk kutipan filem keempat mereka ini.
“Sebelum ini, Lagenda Budak Setan 1 (LBS1) telah berjaya. Disebabkan itu, saya yakin dengan LBS2, sebab penonton melihat ini sebagai filem yang segar. Saya juga yakin filem ini akan meletup seperti Ombak Rindu,” ujar Sharad Sharan.
Ditanya berapakah sasaran kutipan untuk filem terbaru dari Tarantella Pictures ini, “Setiap filem yang kami hasilkan, kami sasarkan RM20 juta!” jelasnya lagi sambil ketawa.
Sharad dalam ucapannya turut memberitahu, sebab utama dia memilih Maya Karin untuk memegang watak Katerina adalah disebabkan kualiti yang ditunjukkannya ketika berlakon untuk filem ‘Ombak Rindu’.
“Maya Karin sudah buktikan dirinya dalam filem Ombak Rindu, dan ini juga adalah filem pertamanya selepas Ombak Rindu. Dia sangat bagus,” tambah Sharad lagi.
Dalam pada itu, “Lagenda Budak Setan 3” telah pun habis menjalani penggambarannya pada tahun lepas. Ia dijangka akan ditayangkan pada tahun hadapan.
Apa pun, anda kenalah tonton ‘Lagenda Budak Setan 2’ dahulu. Filem lakonan Maya Karin, Farid Kamil dan juga Bront Palarae ini akan kepawagam pada 29 November 2012. Jom tonton trailer disini.