Angka kematian dan jumlah individu yang dijangkiti wabak coronavirus di China dan beberapa buah negara yang lain mengalami peningkatan saban hari. Hal tersebut menimbulkan rasa ketakutan yang teramat buat masyarakat apatah lagi keluarga dan kenalan mangsa yang menghidap wabak tersebut.
Seperti kisah yang dikongsikan China Press, pasangan pengantin di Singapura ini tidak dapat menghadirkan diri sewaktu majlis perkahwinan mereka yang sedang berlangsung. Ini kerana, mereka terpaksa dikuarantin secara sukarela bagi mengelakkan wabak tersebut terus tersebar.
Pengantin lelaki dari Hunan, China
Menurut laporan China Press, pasangan tersebut terpaksa dikuarantin secara sukarela di dalam bilik hotel selama 14 hari ekoran mereka baru sahaja pulang dari China. Dalam laporan tersebut juga menyatakan pengantin lelaki itu berasal dari Hunan, China.
Tidak mahu menghampakan perasaan tetamu yang hadir, pasangan tersebut mengambil keputusan untuk membuat siaran langsung dari dalam bilik memandangkan mereka tidak boleh menghadirkan diri ke majlis itu. Melalui skrin besar yang disediakan oleh pihak hotel, pasangan itu dapat melayan kesemua tetamu mereka.
Terima kasih kerana sudi hadir ke majlis perkahwinan kami. Kami memohon maaf tidak dapat menikmati detik indah ini bersama anda semua tetapi kami gembira melihat tetamu yang telah hadir.
Statistik terkini
Menerusi laporan Worldometer, Singapura berada di tangga ketiga mencatatkan jumlah kes paling banyak. Manakala, China dan Jepun berada di tangga pertama dan kedua. Sebanyak 28276 orang secara keseluruhan disahkan menghidap wabak coronavirus setakat ini dan 565 orang dilaporkan meninggal dunia disebabkan wabak itu. Angka mengenai kes yang sudah sembuh pula mencatatkan sebanyak 1173 orang.
Sumber: China Press & Worldometer