Tidak berhati perut! Kecoh apabila mayat seorang ibu berusia 63 tahun ditemui di dalam tangki najis di belakang rumahnya dan dipercayai dibunuh oleh anak kandung sendiri. Kejadian itu berlaku di Kampung Sungai Burung, Balik Pulau.
Artikel berkaitan: Warga Emas Dijumpai Dalam Lubang Najis Selepas 6 Hari Hilang
Walaubagaimanapun, suspek berusia 29 tahun itu telah ditahan polis kira-kira jam 8.45 pagi tadi. Ini laporan penuh pihak polis susulan insiden tersebut.
Direman esok
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata warga emas ini telah dipercayai hilang dan gagal dikesan ahli keluarga sejak 6 hari lepas iaitu pada 19 September. Bagaimanapun, mayatnya telah ditemui menantu di dalam tangki najis belakang rumah pada 2.00 petang semalam.
Ya, kita sudah berjaya menahan suspek kes terbabit. Siasatan masih dijalankan dan saya akan beri makluman lanjut kemudian.
Mayat Faridah Hashim ditenggelamkan dalam tangki sedalam 1.2 meter. Mangsa juga dipercayai telah dibunuh oleh anak kandung dan segera disembunyikan dalam tangki itu. Suspek akan direman esok.
Berlaku pertelingkahan mulut
Tambahnya lagi, berdasarkan hasil soal siasat mendapati suspek telah mengaku membunuh ibunya selepas berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
Dia juga mengatakan, semasa kejadian dia yang berada di bawah pengaruh bau petrol bertindak menusuk pisau pada leher mangsa lalu mengelarnya.
Melihat keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri, suspek kemudiannya terus menyumbat si mati ke dalam tangki najis.