Meskipun masih jagung dalam dunia perniagaan, jenama produk berasaskan coklat popular, Choco Albab mendedahkan menerima beberapa tawaran dari stesen televisyen untuk menjadi penaja rancangan utama sejak tahun lalu.
Artikel Berkaitan: Wawa Zainal Enggan Keterlaluan, Nama Jenama Sudah Cukup Dikenali
Artikel Berkaitan: Pengasas Coklat Belanja Ejen Lagi, ‘Charter’ Satu Kapal Terbang Pergi Pulau Langkawi
Persiapan rapi dilakukan
Menurut Pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi, dia menyambut baik ‘lamaran’ itu selain menganggap sebagai satu pencapaian membanggakan bagi bisnes yang baru memasuki tahun ketiga.
Pastinya sesuatu yang membanggakan apabila stesen televisyen nampak jenama produk saya ada keupayaan dan kemampuan sebagai penaja mereka.
Saya akui ada menerima panggilan malah ada yang sudah berjumpa dan menawarkan syarikat saya sebagai penaja utama untuk program hiburan mereka.
Saya sambut baik namun pada saya semua hal itu perlu perancangan yang lebih rapi dan persediaan daripada pihak saya dan pasukan.
Kata Said Saiful, jumlah tajaan bukan menjadi halangan atau masalah sebaliknya persediaan pasukannya dalam berdepan dengan impak sebaik menjadi penaja menjadi ukurannya.
Memegang nasihat daripada mentor perniagaan, Datuk Zafrol Rizal Mat atau Jerry, syarikat perlu mempunyai persediaan rapi termasuk stok yang mencukupi bagi memenuhi permintaan selepas muncul sebagai penaja.
Berdasarkan rekod, saya yakin impak sangat hebat dan permintaan akan meningkat jadi saya perlu memikirkan faktor ini sebelum membuat keputusan untuk menaja.
Said Saiful berkata demikian ketika ditemui pada sambutan ulang tahun Choco Albab yang ketiga bertemakan ‘Beyond the Star’ di Bangi Avenue Convention Center, pada Sabtu.
Khai Bahar jadi ‘penarik’
Tambah Said Saiful, dia masih percaya kemampuan selebriti menjadi penarik utama dalam kalangan pembeli. Ujarnya, Choco Albab ketika di awal kemunculan turut menggunakan khidmat selebriti iaitu Khai Bahar dan memberikan impak yang baik.
Kita akui selebriti juga mampu menjadi tarikan untuk mempromosikan sesuatu produk dan kami juga pernah menggunakannya cuma kita juga turut menggunakan kaedah lain.
Saya juga tidak menolak menggunakan khidmat selebriti pada masa depan mengikut kesesuaian produk yang akan dikeluarkan.
Dalam pada itu, Said Saiful yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Saudagaar Asia Sdn Bhd menyatakan, dalam masa tiga tahun, Choco Albab telah mencapai kejayaan yang membanggakan iaitu membahagiakan sekitar 100 ribu agen dan melahirkan puluhan Crown Leader.
Jelasnya, ada usahawan yang berjaya meraih pendapatan mencecah RM90,000 sebulan hasil jualan produk Choco Albab.
Pada 2025, saya sasarkan 200,000 usahawan bersama dengan Choco Albab, menjadi agen dan meningkatkan Choco Albab sebagai jenama produk berasaskan coklat tempatan nombor 1.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun ini, Choco Albab turut melancarkan produk baharu, iaitu Choco Albab Hazelnut Spread yang dijangka menjadi pilihan kegemaran ramai.
Dengan kejayaan yang dicapai dan perancangan yang menjanjikan masa depan yang cerah, Choco Albab kini berdiri sebagai jenama yang bukan sahaja memberikan kebahagiaan melalui produk berkualiti, tetapi juga melalui peluang keusahawanan yang mengubah kehidupan.