Siapa tidak kenal penyampai radio otai, Isma Halil Hamzah yang sudah 22 tahun dijulang sebagai penyampai radio popular. Bermula sebagai penyampai di Radio Muzik pada tahun 1994, Isma Halil kemudiannya bertugas di Rediffusion FM dan THR Gegar Pantai Timur.
Menerusi Harian Metro, Isma Halil mempersoalkan cara penyampaian DJ radio pada hari ini yang kebanyakannya menjadikan radio sebagai bahan ketawa.
Gelak dengan lawak sendiri
Beliau yang kini membuka radio secara online iaitu Bapakku.FM di kediamannya berpendapat format baru dilakukan untuk menarik perhatian pendengar.
Saya amati bahasa yang digunakan penyampai radio baharu memang kasar. Mereka bercakap tidak berhati-hati dan memanggil orang lain sebagai ‘korang’.
Sudah-sudahlah berjenaka, televisyen padat dengan program jenaka dan terkini, radio pula.
Beliau juga tidak faham dengan segelintir penyampai yang ketawa dengan lawak sendiri. Menurutnya lagi, tindakan itu akan membuatkan pendengar hanyut.
Masih terngiang-ngiang di fikiran saya, kenapa lah penyampai radio asyik nak buat lawak, orang lain tak gelak mereka yang gelak. Tindakan itu menunjukkan seolah-olah mereka tiada pengetahuan.
Cukup-cukuplah dengan bahan ketawa sedangkan radio berperanan memberi kesedaran serta ilmu.
Penyampai radio perlu beri kesan supaya pendengar boleh ingat, bukannya jenaka yang entah apa-apa. Sayanglah dengan bakat orang muda, kerana mereka mahu menjadi penyampai radio.
Trend terbaru ‘tangkap muat’
Isma Halil turut mengimbau sesi uji bakat penyampai radio di zamannya berbeza dengan kini yang hanya mengambil bekas peserta realiti dan program lawak sebagai penyampai.
Jika diimbau kembali, penyampai radio terdahulu perlu menjalani uji bakat bersama ratusan orang tetapi trend terbaru, tangkap muat.
Penyampai radio yang lalu dinilai melalui ilmu pengetahuan. Kami perlu memiliki suara yang besar, mesti ada ‘pukulan’ untuk menarik pendengar.
Tambahnya, radio bukan sahaja menyediakan hiburan kepada pendengar malah ianya adalah medium untuk menyampaikan maklumat dan mendidik.
Penyampai perlu ada ilmu
Sementara itu, Pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Ahmad Faisal Mohamed Fiah berpendapat untuk sebagai petugas media seseorang haruslah berpengetahuan luas.
Secara logiknya, setiap penyampai radio mesti memiliki ilmu bukan untuk berjenaka semata-mata. Apabila menyampaikan sesuatu perkembangan, anda perlu tahu mengenainya.
Dalam perkembangan hari ini, saya melihat kebanyakan stesen radio gemar menjemput bekas peserta rancangan realiti untuk menjadi penyampai radio.
Ia adalah strategi kerana artis meniti puncak populariti yang diyakini boleh menarik pendengar. Namun, sejak beberapa tahun lalu kita sering kedengaran mengenai kualiti penyampai radio.
Mempertikaikan kualiti penyampai radio dalam kalangan peserta realiti, pensyarah ini berharap kerjaya ini didominasi graduan jurusan komunikasi dan media.
Sumber : Harian Metro