Kita semua sedia maklum bahawa Kerajaan telah mengapungkan harga diesel pada 10 Jun 2024. Hal ini telah mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tahukah korang, ianya dilaksanakan untuk membasmi aktiviti ketirisan melibatkan subsidi diesel yang boleh dikatakan makin berleluasa jika tidak dibendung segera?
Ada segelintir rakyat Malaysia yang menzahirkan kebimbangan mereka bahawa dengan tindakan ini, akan berlakunya kenaikan contohnya seperti dalam kos pembinaan dan harga barang lain yang boleh menekan rakyat.
Sebenarnya, semasa Kerajaan umumkan pengapungan harga diesel, Kerajaan juga umumkan beberapa sektor yang masih layak untuk menerima subsidi diesel dan juga golongan yang akan diberikan bantuan tunai.
Impak minimal kepada industri pembinaan
Penyasaran subsidi diesel ini tidak sepatutnya memberikan impak yang besar kepada industri pembinaan atau terhadap operasi harian dan pembangunan projek.
Ini kerana industri pembinaan sewajarnya membeli diesel pada harga pasaran sejak sebelum penyasaran subsidi diesel ini dilaksanakan lagi.
Kontraktor, Nor Zairinee Binti Md Nasrai berkata walaupun terdapat kenaikan harga barang dan perkhidmatan operator jentera tetapi ia tidaklah terlalu ketara kerana harga diesel masih berada dalam julat yang stabil.
Menurutnya, kenaikan itu mungkin disebabkan terdapat beberapa pihak penyedia bahan mentah atau operator jentera sebelum ini menyalahgunakan diesel bersubsidi untuk mengendalikan mesin dan peralatan berat.
“Kini, mereka tidak dapat mengelakkan daripada menggunakan diesel pada harga pasaran, maka mereka menaikkan harga pada kami yang menggunakan perkhidmatan mereka,” ujar Nor Zairinee Binti Md Nasrai.
Tambahnya, banyak mesin dan jentera berat yang digunakan oleh kontraktor kecil, disewa daripada pengusaha atau operator lain.
Menurut Mohd Saiful Safwan bin Md Sharif, juga seorang kontraktor, langkah yang diambil Kerajaan kini bagus untuk jangka masa panjang.
Dengan pengurusan yang baik dan penyesuaian strategik, industri pembinaan di negara ini boleh terus berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negara walaupun dalam persekitaran yang berubah-ubah ini.
“Akan tetapi, diharap pihak kerajaan akan mengawal selia harga dari masa ke semasa agar tiada pihak yang mengambil kesempatan,” ujar Mohd Saiful Safwan.
Kerajaan ‘hulur tangan’ untuk industri pembinaan
“Untuk tempoh jangka panjang, ia (penyasaran subsidi diesel) merupakan satu langkah baik untuk memastikan subsidi yang diberikan adalah lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Ini membantu mengurangkan pembaziran dan memastikan bahawa sumber kewangan negara digunakan dengan lebih efisien,” ujar Nor Zairinee.
Menurut Mohd Saiful Safwan, langkah Kerajaan ini bagus untuk membanteras ketirisan yang berlaku sebelum ini dan berharap Kerajaan akan membantu para pemain industri.
Tambahnya, dengan adanya strategi pengurusan kos yang baik dan teknologi yang efisien, banyak syarikat dalam industri ini dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut tanpa kesan yang besar.
Kerajaan sedar kebimbangan industri pembinaan ini dan sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan langkah sokongan tambahan atau insentif bagi membantu industri menyesuaikan diri.
Selain itu, Kerajaan juga menekankan kepentingan dialog berterusan antara Kerajaan dan pihak berkepentingan industri untuk menangani sebarang isu yang timbul dan mencari penyelesaian kolaboratif.
Langkah penyasaran subsidi ini juga akan memberi manfaat jangka panjang bagi pertumbuhan ekonomi dan kestabilan sosial negara.
Ini menunjukkan bahawa subsidi ini adalah aspek yang penting dalam strategi pembangunan negara yang berkesan dan mampan.
Dengan komitmen berterusan dan pengurusan teliti, penyasaran subsidi diesel akan terus memberi manfaat yang signifikan kepada rakyat Malaysia.
BUDI MADANI: Penyaluran semula bantuan daripada penyasaran subsidi untuk kesejahteraan rakyat
BUDI MADANI merupakan usaha Kerajaan untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak. Kerajaan masih memberi subsidi diesel kepada kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan pengangkutan barangan tertentu melalui ‘fleet card’.
Individu yang memiliki kenderaan diesel serta petani dan pekebun kecil tanaman komoditi pula diberikan bantuan tunai untuk menampung perbezaan antara harga diesel mutakhir dan harga sebelumnya apabila terdapat subsidi pukal.
Penyasaran subsidi diesel dianggap sebagai salah satu mekanisme untuk menjaga kestabilan ekonomi dan memastikan rakyat dapat menikmati akses kepada perkhidmatan asas dengan kos efisien.
Terdapat tiga kategori di bawah BUDI MADANI iaitu BUDI Individu bagi pemilik kenderaan diesel individu, BUDI Agri-Komoditi untuk golongan petani, penternak dan pekebun kecil serta BUDI MySubsidi Diesel untuk kenderaan awam dan pengangkutan barangan terpilih terus mendapatkan subsidi diesel melalui “fleet card”.
Penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi yang layak akan menerima RM2,400 setahun atau RM200 sebulan.
Untuk mendaftar, layari https://budimadani.gov.my/ atau kunjungi mana-mana kaunter LHDN di seluruh Semenanjung Malaysia.