Perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia antara Malaysia melawan Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta diketahui telah dicemari dengan insiden memalukan. Dua penyokong Malaysia turut disahkan cedera selepas diserang oleh penyokong negara jiran yang seakan tidak dapat menerima kekalahan 2-3 kepada Malaysia.
Menerusi laporan Harian Metro, seorang penyokong Malaysia yang juga mangsa pada insiden itu menceritakan situasi sebenar pada hari kejadian tersebut.
Berlaku dengan pantas
Mangsa, Mohd Zulraini Helmi berkata insiden yang dicetuskan oleh penyokong tuan rumah itu berlaku dengan cukup pantas terutama selepas skuad Harimau Malaya berjaya meraih gol kedua pada minit ke-66.
Katanya, skuad Garuda yang berada di tingkat atas telah bertindak melemparkan pelbagai objek ke arah Ultras Malaya yang pada ketika itu berada di bahagian bawah bersebelahan tempat duduk media.
Sebenarnya provokasi penyokong Indonesia dah bermula masa kami sampai di stadium waktu petang lagi. Tapi, masa itu semuanya masih terkawal.
Tapi, yang paling dahsyat masa separuh masa kedua, banyak objek keras jatuh atas kepala kami. Nasib baik saya dapat mengelak, tapi keadaan bertambah tegang bila penyokong mereka mula lari masuk ke arah penyokong kita.
Kalau dinding roboh mesti lagi bahaya
Ceritanya, keadaan lebih tidak terkawal apabila penyokong Indonesia hampir mahu merobohkan dinding di tepi tempat duduk penyokong Malaysia.
Katanya pada ketika itu, semua penyokong Malaysia diarahkan untuk masuk ke terowong bawah tanah yang merupakan tempat laluan untuk pemain.
Mereka (penyokong Indonesia) hampir nak robohkan dinding di tepi tempat duduk dan bayangkan kalau roboh mesti keadaan lagi berbahaya.
Bila dah kena serang kami tak boleh duduk lagi di tempat penonton sebab itu kami diarahkan untuk masuk ke terowong bawah tanah yang juga tempat laluan pemain.
Terpaksa koyakkan baju tertera nama Malaysia
Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila dia diserang skuad Garuda ketika cuba menyelamatkan diri ke laluan bawah tanah itu.
Ketika semua nak keluar panjat pagar ke laluan bawah tanah itu, saya diserang penyokong Indonesia dan kemudian terjatuh atas balapan hingga menyebabkan tangan kiri saya patah.
Saya dibawa ke ambulans, tapi disebabkan terpaksa menempuh depan penyokong mereka, pegawai perubatan minta untuk koyakkan baju saya yang tertera nama Malaysia.
Tunggu 30 minit
Apa yang lebih mengerikan, dia berkata pasukan perubatan ambulans dan dirinya terpaksa menunggu selama 30 minit kerana tidak ‘lepas’ untuk keluar.
Namun, melihat kepada keadaanya yang semakin teruk, pasukan itu terpaksa membawanya keluar tanpa membunyikan siren kerana bimbang diserang penyokong Indonesia pada ketika itu.
Bila dah masuk ambulans, kami tak boleh keluar dan menunggu hampir 30 minit. Memandangkan keadaan saya semakin teruk, mereka terpaksa bawa saya keluar tanpa membunyikan siren kerana bimbang penyokong tuan rumah akan menghalang kenderaan itu.
Selepas beberapa minit perjalanan saya sampai di hospital dan menjalani rawatan serta imbasan imbasan MRI dan X-ray sebelum disahkan patah tangan kiri yang mana sendi saya terkeluar.
Doktor minta saya tinggal untuk beberapa hari lagi, tapi saya tak nak. Esok paginya (Jumaat) polis menghantar saya ke lapangan terbang sebab ada penyokong Indonesia yang tunggu di sana.
Tak serik
Meskipun pernah merasai pengalaman yang agak menakutkan itu, Zulraini bagaimanapun tidak akan pernah merasa serik dan tetap akan menyokong Harimau Malaya
Takkan serik. Walaupun sampai hari ini, tak ada mana-mana wakil FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau kerajaan menghulurkan bantuan, saya tetap bersemangat demi Harimau Malaya.
Sumber: Harian Metro