Bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, semalam, pasangan adik beradik iaitu Zaki Yamani dan Yamani Abdillah dinobatkan sebagai juara musim kedua program hiburan Famili Duo. Tahniah!
Artikel berkaitan: Diminta Hadir Beri Sokongan Buat Anak-Anak, Jamal Abdillah Akhirnya Muncul Di Pentas Akhir Famili Duo
Bukti kepada ayah kami boleh
Menurut Yamani dan Zaki, wang kemenangan sebanyak RM100,000 itu akan diberikan kepada ibu masing-masing sebagai tanda kasih dan sayang. Ujar Zaki, insan bergelar ibu itu sentiasa memberi dorongan dan keyakinan buat diri mereka sepanjang bertanding dalam program tersebut. Tanpa ibu, Zaki berkata dia tidak mampu meraih kejayaan semalam.
Selama ini, ibu adalah antara penyokong utama dalam kerjaya seni. Tak putus-putus bagi semangat dan mendoakan kami. Jadi, kami mahu mendedikasikan kemenangan ini buat kedua-dua ibu kami termasuk semua wang kemenangan yang diraih. Kami percaya, jika kami buat begitu, rezeki buat kami akan lebih melimpah, Insya-Allah.
Ditemui OhBulan selepas usai program tersebut, pasangan adik beradik ini turut meluahkan rasa terharu kerana bapa mereka, Datuk Jamal Abdillah sudi hadir menyaksikan persembahan mereka di pentas final program berkenaan.
Itu merupakan kali pertama babah datang tengok kami buat persembahan. Memang sebak dan terharu. Tetapi ia juga membuatkan kami rasa gementar sebab dia ada di depan mata. Kemenangan ini juga kami dedikasikan buat babah sebab sepanjang menyertai program ini, dia juga selalu titip pesanan dan semangat buat kami berdua.
Malah, beberapa hari sebelum persembahan final semalam, dia berulang kali menyakat, ‘Man, kau dan Zaki kena menang kalau nak babah datang tengok di final’. Tak sangka, kami betul-betul menang jadi ada sebab untuk kami berasa bangga dengan kejayaan ini yang juga untuk dia.
Disoal sejauh manakah keakraban hubungan mereka selepas menyertai program Famili Duo, Zaki mengakui bahawa hubungannya dengan Yamani bertambah erat.
Kali terakhir saya rapat dengan abang ialah sewaktu berusia lapan tahun dan abang pula berusia 11 tahun. Terus-terang, saya pun dah lupa bagaimana cara abang melayan dan bergurau dengan saya waktu kecil dulu. Setelah lama tak berjumpa, kami dipertemukan dalam program ini. Bermula dari minggu pertama hingga sekarang, saya mulai ingat bagaimana rapatnya kami dahulu. Sekarang saya pula ‘buli’ dia (sambil berseloroh).
Beza hanya undian penonton
Menurut juri tetap Famili Duo iaitu Mas Idayu dan Ajai, kesemua peserta menampilkan persembahan yang sangat bagus semalam. Ujar Mas Idayu, persaingan sangat sengit dapat dilihat di antara pasangan The Jebat’s dan anak-anak Datuk Jamal. Tambah Mas Idayu, markah undian penonton berpihak kepada Zaki dan Yamani, semalam.
Mummy bagi markah semua tinggi. Tapi undian penonton yang membezakannya.
Ujar Ajai pula, Zaki dan Yamani pandai memilih lagu mengikut usia mereka. Di samping itu, mereka menunjukkan peningkatan yang sangat baik.