Bagi pereka fesyen muda, Amirul Safwan, tiada kata yang boleh digambarkan saat melihat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memakai baju rekaannya ketika konsert ‘Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’, pada 9 Mac lalu.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Siti Nurhaliza Pembayar Zakat Tertinggi Dalam Kalangan Artis, Tak Pernah Culas Bayar Sejak 5 Tahun Lalu
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tangga Pertama Tak Penting Pun, Kerja Berkualiti & Peminat Puas Hati Lebih Gembirakan Saya’ – Siti Nurhaliza
Buat baju untuk konsert ‘new year’
Menurut Pengasas jenama Bianca Bella, Amirul, 28, dia dan pasukannya berasa teruja ketika melihat baju rekaan mereka digayakan di pentas yang gilang gemilang itu.
Bercerita detik pengenalan, Amirul berkata dia diberi kepercayaan untuk menyiapkan busana Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Tokti ketika persembahan sempena tahun baru yang diadakan di Melaka.
Segalanya bermula ketika kami diberi kepercayaan menyiapkan baju Tokti pada persembahan sempena tahun baru dan melawat Melaka 2024 lalu, di situ detik perkenalan bermula.
Bila mendapat peluang untuk menyediakan busana sempena konsert Tokti saya dan pasukan tahu ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan.
Tokti pilih songket tempatan
Digelar Adik Bianca oleh Tokti, Amirul menyatakan dia mengambil masa selama sebulan bagi menyiapkan baju yang turut dibantu oleh Shafik Izzuddin dan Norshazratul Aisyah.
Katanya, warna dan material yang digunakan bagi busana itu ialah songket tempatan yang dipilih sendiri oleh Tokti.
Memang teruja pada masa sama gementar maklumlah kami masih setahun jagung tapi diberi kepercayaan oleh penyanyi hebat seperti Tokti.
Jujurnya tujuh tahun pengalaman dalam bidang ini saya tidak pernah terlintas akan jahit dan reka pakaian untuk Tokti, ini semua rezeki sangat bermakna.
Selain itu, Amirul mengakui terharu serta kagum dengan sikap merendah diri yang ada dalam diri Tokti.
Semua proses berjalan dengan lancar dan mudah. Tokti sangat profesional dan tahu apa yang diinginkan oleh dirinya.
Bagi kami pastinya berusaha mahu memberikan yang terbaik, Alhamdulillah dengan reaksi positif yang diterima lebih-lebih lagi untuk orang baru seperti kami.
Dalam pada itu, Amirul juga mengakui berkat doa ibu bapanya menjadi penyebab utama cita-citanya menjadi kenyataan.
Kami masih baru, ini permulaan yang sangat bermakna dan indah buat kami. Terima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kak Rozie dan pasukannya yang percaya pada kami.
Pastinya pengalaman ini sangat berharga buat Bianca Bella dan menjadi pemangkin untuk kami terus menjadi lebih baik.
Sebelum ini, Tokti membuat hantaran penghargaan di Instagram (IG) kepada pihak-pihak yang sudah bertungkus lumus menjayakan konsert ‘Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza’ yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Lebih bermakna apabila baju berona emas merah hati gelap itu mendapat pujian ramai termasuk netizen yang memilih ia antara yang terbaik pernah disarungkan oleh penyanyi Menyapa Dunia itu.
Tokti turut dipuji kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada pereka muda untuk menyiapkan baju dalam konsert berskala besarnya.
Sekadar info, Bianca Bella yang beroperasi di Duyung, Melaka sudah dua tahun aktif dan menawarkan koleksi rekaan baju eksklusif terutama untuk raja sehari.
Sumber: Instagram