Setelah sekian lama menderita beberapa komplikasi kesihatan, pendakwah disegani Dato’ Ismail Kamus akhirnya kembali ke pangkuan Ilahi pada awal pagi semalam. Berita itu membuatkan seluruh negara bersedih, termasuk Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Zulkifli Albakri.
Kehadiran sentiasa dinanti-nanti, celoteh & lawak sentiasa di hati
Menurut Dr Zulkifli di Instagramnya, pengaruh dan kaliber arwah telah mendapat perhatian ramai di tahun suatu ketika dulu. Kehadiran arwah antaranya dalam Forum Perdana Ehwal Islam sentiasa ditunggu-tunggu kerana pendekatan yang disenangi masyarakat.
Perginya permata ummah Almarhum Al-Ustaz Al-Kabir Ustaz Ismail Kamus (1948 – 2020). Mengenangkan sosok tubuhnya sentiasa mengingatkan saya kepada nostalgia ceramahnya di era 80-an dan 90-an yang berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat baik di kaca televisyen mahupun koleksi kasetnya yang terjual entah tidak terkira bilangannya
Kehadirannya sentiasa dinantikan umat Islam di Malaysia setiapkali Forum Perdana Ehwal Hal Ehwal Islam (kini Forum Perdana Ehwal Islam) di TV1. Celotehnya yang bersahaja, disulami nasihat-nasihat yang amat berguna, sentiasa menjadi ingatan kepada generasi yang sempat berada pada era tersebut.
Benar-benar memahami denyut nadi ummah
Tambah bekas Dr Zulkifli lagi, beliau ada bertemu dengan arwah kira-kira hujung tahun 2019 untuk satu jamuan makan bersama. Arwah disifatkan sebagai seorang ilmuan sejati yang faham segalanya tentang umat Islam.
Kali terakhir saya makan bersama almarhum adalah pada 17 Disember 2019. Walaupun kelihatan uzur, namun almarhum tetap bersemangat menggagahkan diri untuk bersama-sama saya pada malam tersebut.
Kita kehilangan seorang demi seorang ilmuan dan pendakwah yang benar-benar memahami denyut nadi ummah. Moga Allah SWT memberi ketabahan kepada keluarga almarhum.
Sumber: Dr Zulkifli Albakri