Setiap orang yang beragama Islam pastinya mengimpikan untuk meninggal dunia dalam keadaan husnul khotimah. Manusia yang menemui ajalnya ketika sedang melakukan solat, meninggal ketika berada di majlis ilmu, sempat mengucapkan dua kalimah syahadah adalah antara contoh-contoh kematian yang dicemburui oleh mereka yang masih hidup.
Begitulah juga kisah yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Ustaz Zamri tentang kematian rakannya yang sangat dicemburui apabila arwah dikatakan meninggal dunia seperti seorang syuhada’ baru-baru ini.
Dijemput seperti syuhada’
Perginya seperti seorang syahid…
Hari ini saya diberi kesempatan untuk menziarahi keluarga Almarhum Hamidi Muhram yang sempat seketika bersama saya di Jordan dalam Program Umrah 3 Masjid. Saya mendapat keizinan dari keluarganya untuk memaparkan beberapa gambar-gambar Allahyarham sebagai satu ibrah yang hebat yang boleh dikongsikan kebaikannya di dunia ini.
Saya sempat bersama Allahyarham ketika di hospital, ketika beliau nazak seterusnya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Allahuakbar.
Pada pemerhatian saya, Allahyarham telah dijemput seakan-akan seperti seorang syuhada’. Lihat sahaja pada jari telunjuknya yang tegak yang hanya boleh dilihat pada mereka yang syahid sahaja. Dan wajahnya seakan-akan gembira dan senyum kepada jemputan ini. Allah saya sangat mencemburui kematian ini. Ini juga tanda benarnya Allah mengampunkan dosa-dosa mereka yang melakukan umrah. Allah.
Banyak lakukan amalan
Rupanya amalannya di dunia begitu hebat tanpa perlu dikecoh-kecoh. Hanya Allah dan makhluk di langit sahaja mengetahuinya. Beliau antara mereka yang berusaha menyiapkan surau yang baru dibina di taman kediamannya di Taman Kanching Tun Teja.
Beliau juga menguruskan peninggalan harta keluarga tanpa mengambil bahagian dari hasilnya. Diserahkan kepada adik-beradik lain yang memerlukan. Sangat dermawan orangnya. Sempat mengeluarkan sikit kewangan untuk bantuan Syria kepada Mursyid Mantop Travel yang bertugas.
Rupanya inilah antara amalan-amalan di dunianya yang dilakukan dalam banyak yang tidak diketahui oleh kita. Allah anugerahkan dengan kematian yang sangat dicemburui oleh sekalian mahkluk di dunia ini.
Kenapa menangis?
Saya difahamkan oleh keluarga Allahyarham yang tiba di Jordan melihat pengebumian Allahyarham bahawa ramai Arab-arab di sana memarahi mereka bila mereka menangis. Mereka kata kepada Allahyarham adalah syahid, kenapa kamu perlu menangis.
Pergilah dikau dengan aman di sana sahabatku. Kami juga bakal menyusul kemudian ke sana juga. Moga kita bersama di syurga nanti.
Moga keluarga Allahyarham terus jadi penerus amalan yang hebat yang tidak terputus dari status kematian ini iaitu doa anak-anak yang soleh.
Benarnya wahai sahabatku, dikau telah mengotakan janji Rasulullah SAW bahawa ‘Janganlah kamu bersusah payah untuk melakukan satu-satu pemusafiran kecuali ke tiga masjid, Masjidil Haram, Masjid Rasulillah SAW dan Masjidil Aqsa’. Dikau disaksikan oleh Allah dan malaikatnya serta orang-orang beriman.
Sumber: Facebook Ustaz Zamri