Platform berita sosial SAYS terus memperjuangkan kesedaran dan penerimaan terhadap kumpulan autisme dengan mewujudkan permainan inklusif pertama mereka, yang akan diadakan di GSC, 3 Damansara hari ini, 14 Mei.
Artikel Berkaitan: Lancar Premium Audio, Skrin Digital Gergasi Big Tree Kini Berdentum Di CuBig @ KLCC Junction
Dengan kerjasama GSC & The Early Autism Project
Acara istimewa yang dianjurkan itu merupakan kerjasama dilakukan bersama GSC dan The Early Autism Project merangkumi 30 keluarga dengan kanak-kanak autisme dalam spektrum di mana para hadirin akan disajikan dengan aktiviti yang penuh keseronokan pada awal pagi diikuti dengan tayangan percuma filem animasi ‘The Super Mario Bros. Movie’.
Aktiviti dan tayangan itu akan diadakan di dewan PlayPlus GSC di 3 Damansara, Petaling Jaya yang memberikan akses penuh kepada kanak-kanak untuk bermain taman permainan pawagam yang luas, termasuklah gelongsor gergasi, kolam bola, gim memanjat kayu dan banyak lagi.
Selain itu, terdapat juga Booth The Early Autism yang menyediakan pra-penyaringan, pendidikan autisme dan maklumat di portal dalam talian secara percuma. Bukan itu sahaja, terdapat juga merchandise yang disediakan mereka kepada para hadirin.
Di stesen Seni & Kraf SAYS, kanak-kanak digalakkan untuk menonjolkan kreativiti mereka dengan membuat topi origami ‘Mario’ dan ‘Luigi’, sambil menikmati helaian pewarna. Sementara itu, booth foto yang bertemakan Mario juga disediakan bagi membolehkan keluarga mengambil gambar sebagai kenangan.
The Supa Dupa Circus, skuad pakar belon dan penghibur keluarga mempersembahkan seni belon Mario yang unik untuk kanak-kanak. Mereka juga menyediakan booth belon untuk mencipta seni yang kreatif setiap kanak-kanak. Daripada senapang laser dan rama-rama, kepada monyet yang memegang pisang, keluarga teruja dengan setiap ciptaan skuad ini.
Tambahan lagi, ibu bapa juga diberi peluang untuk berhubung dan berkongsi pendapat bersama keluarga Autisme yang lain.
Perjuangkan kesedaran & penerimaan autisme
Untuk info, SAYS memperjuangkan kesedaran dan penerimaan autisme dengan kempen ‘All About Autism’, selaras dengan Bulan Autisme Sedunia sejak April yang lalu.
Inisiatif ini termasuk halaman pendaratan khas yang akan tersedia sepanjang tahun, untuk membolehkan rakyat Malaysia membaca, menonton dan mengetahui lebih lanjut tentang gangguan spektrum autisme melalui temu bual dengan individu autistik, serta mencari sumber daripada pakar dan ahli terapi.
SAYS berusaha untuk mewujudkan ruang yang selamat untuk semua individu melalui video pengalaman yang mempamerkan ‘sensory overload’ dan penyiaran TikTok selama enam jam untuk mengumpul dana kepada Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (NASOM).
Inisiatif ini juga disambut baik Laila Zain, Ketua Rangkaian Bahasa Inggeris, REV Kumpulan Media yang mempunyai pengalaman membesarkan anak autistik.
Anak saya disahkan menghidap autisme ketika berusia tujuh tahun. Perkara itu menjadikan ia perjalanan yang sunyi untuk kedua-dua kanak-kanak dan ibu bapa mereka, kerana ia sukar untuk difahami melainkan anda berada dalam situasi yang sama. Matlamat kami dalam mewujudkan taman permainan ini bukan sahaja membenarkan kanak-kanak dalam spektrum bertemu orang lain yang seperti mereka dan menjadi diri mereka sendiri dalam ruang yang selamat, tetapi juga untuk keluarga mereka dapat berhubung.
Saya berharap SAYS akan terus menjadi ruang yang selamat untuk semua yang neurodiverse.
Dalam pada itu, Pakar, Perhubungan Awam, Golden Screen Cinemas, Noordiana Ibrahim, berharap agar kerjasama yang dijalinkan ini mampu untuk memupuk kesedaran autisme dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Sebagai pawagam terkemuka di Malaysia, matlamat kami adalah untuk memupuk keterangkuman dalam kalangan rakyat Malaysia dan ini termasuk mewujudkan ruang selamat untuk rakan berkeperluan khas kami dengan tayangan mesra deria. Filem akan ditayangkan pada kelantangan yang perlahan dan pencahayaan yang malap untuk menjadikannya pengalaman yang selesa untuk kanak-kanak.
Selain itu, kami juga terus memperjuangkan usaha kesedaran autisme dalam jangka panjang, kempen ‘Loving Autism’ GSC selama setahun bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia melalui kerjasama dengan organisasi yang berfikiran sama.
The Early Autism Project turut menambah, bahawa mereka begitu gembira dan teruja melihat usaha dibuat organisasi seperti SAYS dan GSC dalam usaha meningkatkan lagi keterbukaan dalam menerima individu yang mempunyai keboleh yang berbeza.
Sebagai rakyat Malaysia, kami gembira dapat menyaksikan usaha berterusan organisasi seperti SAYS dan GSC meningkatkan kesedaran tentang autisme dan menggalakkan keterbukaan bagi individu yang mempunyai kebolehan yang berbeza. Kami di EAP berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada acara ini dan mengharapkan lebih banyak usaha kolaboratif bersama-sama!
Orang ramai dialu-alukan untuk mempelajari ‘All About Autism’ di sini: https://says.com/allaboutautism