Tragedi misteri kehilangan seorang aktivis dari Switzerland iaitu Bruno Manser pada tahun 2000 masih menjadi persoalan. Lelaki ini dipercayai ‘ghaib’ selepas mendaki Bukit Batu Lawi, Sarawak seorang diri. Sebelum insiden misteri itu, nama Bruno Manser disanjung kerana pernah memperjuangkan nasib suku Penan di Sarawak.
Ambil keputusan untuk ke Asia
Mengenali individu kelahiran Switzerland ini, dia pernah dipenjara selama empat bulan disebabkan enggan menyertai latihan ketenteraan di negara tersebut pada usia 18 tahun. Dia percayai latihan ketenteraan itu akan menggalakkan keganasan. Setelah keluar dari penjara, dia mengambil keputusan untuk meneroka banjaran Switzerland bagi mencari ketenangan. Selepas 12 tahun menetap di banjaran tersebut, dia ke negara di Asia Tenggara pula.
Setelah menjejakkan kaki di Asia, dia tinggal di Bangkok bersama beberapa orang Pattani untuk beberapa bulan. Kemudian, dia meneruskan perjalanan ke Kelantan dan Terengganu. Disitu bermulanya kisah perjalanan dia untuk ke Sarawak kerana terdapat beberapa penduduk di negeri Pantai Timur menceritakan kisah kaum Penan di negeri Bumi Kenyalang itu.
Pada tahun 1984, dia menggunakan visa pelawat menyertai kumpulan ekspedisi ke Gunung Mulu, Miri dan Baram. Dia mengambil keputusan untuk mencari orang suku Penan seorang diri sehinggakan dia kehabisan bekalan makanan. Akhirnya, dia berjaya juga menemui orang Penan berdekatan dengan Hutan Limbang. Lalu, dia membuat keputusan untuk menetap di sana.
Diberi gelaran ‘Laki Penan’
Setelah kaum suku Penan menerima Bruno, dia mula diajar mengenai rutin hidup kepadanya. Sikap Bruno sangat disegani sehinggakan mereka memberi gelaran kepadanya ‘Laki Penan’.
Memetik laporan Utusan Borneo, penulis buku ‘Rainforest Hero: The Life and Death of Bruno Manser’ iaitu Ruedi Suter mengulas mengenai spekulasi status perkahwinan Bruno yang dipercayai sudah berkahwin dengan gadis Penan. Namun bagaimanapun, perkara tersebut dinafikan.
Sekiranya dia berkahwin, sudah pasti saya tahu kerana diberitahu penduduk Penan lain memandangkan ia perkara penting. Malah, Saya tidak berjumpa dengan mana-mana anak Penan yang bermata biru dan mirip Manser sepanjang tempoh penyelidikan buku ini.
Bruno mula disanjung selepas dia berusaha menghalang salah satu syarikat pembalakan yang akan memusnahkan tanah dan tempat tinggal suku Penan.
Bruno bersama ketua kaum Penan mengajar kaumnya untuk melakukan sekatan jalan bagi menghalang lori balak daripada mengondol hutan mereka. Bruno ditawarkan RM500,000 dari syarikat berkenaan untuk tidak masuk campur dalam urusan tersebut namun, dia menolak tawaran tersebut.
Pada 1983, dia terpaksa pulang ke Switzerland selepas mendapat perkhabaran ibu bapanya jatuh sakit dan kebetulan visa juga tamat tempoh. Di persidangan kemuncak G7 ke-17 pada 17 Julai 1991, dia lantang bersuara mengenai isu suku Penan dan pembalakan di sana supaya dunia membuka mata.
Bukan itu saja, dia juga dipercayai pernah menghantar surat ke Ketua Menteri Sarawak untuk bekerjasama memperjuangkan nasib suku Penan, namun tidak pernah dibalas. Telah pelbagai cara dia cuba masuk ke negeri Sarawak, namun berjaya ditangkap dan dihantar pulang ke Switzerland.
Masuk ke Sarawak semula
Pada 15 Februari 2000, dia kembali semula ke Sarawak dengan menggunakan jalan darat di Kalimantan, Indonesia. Dia ditemani seorang lelaki Penan yang dikenali sebagai Paleu untuk masuk ke negeri itu. Perjalanan itu mengambil masa kira-kira dua minggu yang memerlukan mereka mendaki bukit dan menaiki bot.
Mereka mendaki hutan Bukit Batu Lawi bersama sebelum Bruno mengambil keputusan untuk mendaki gunung yang curam itu sendirian dan meminta Paleu meninggalkannya. Itu kali terakhir jejak Bruno dikesan sebelum hilang buat selama-lamanya. Sekumpulan kaum Penan dan pihak berkuasa BMF turun padang untuk mencari individu Switzerland itu, namun, mereka masih gagal.
Tambah penulis buku itu lagi, pasukan penyiasat gagal menemui sebarang bukti kematian lelaki warganegara Switzerland itu.
Pada waktu itu saya dan penduduk Penan lain mengadakan operasi mencari Manser sebaik sahaja mengetahui kehilangannya. Kami menjejaki setiap langkah namun gagal menemui Manser. Kami tidak dapat mengeluarkan bukti sama ada Manser masih hidup atau sebaliknya.
Kami tidak menjumpai mayat, pakaian atau barangan peribadinya. Kami tidak tahu dan buntu apa sebenarnya yang berlaku ke atas Manser.
Malah, mereka mempercayai Bruno jatuh di sisi gunung tetapi mayat dan barangnya tidak dijumpai. Pencarian Bruno tidak menemui hasil dan akhirnya pihak mahkamah sivil di Basel Stadt mengesahkan kematiannya pada tanggal 10 Mac 2005.
Sumber: National Geographic, Cultural Survival, Utusan Borneo