berita

Perlis Benarkan Solat Jumaat Bersyarat Mulai 15 Mei, Tidak Lebih 12 Orang

May 9th, 2020 | by Amat
Kini Trending

Perlis menjadi antara negeri terawal yang membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di masjid bermula 15 Mei ini. Bagaimanapun, pelaksanaan itu mempunyai beberapa syarat termasuk tanpa kehadiran orang awam.

Masjid tidak dibuka kepada orang awam

Gambar hiasan

Memetik laporan Metro, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam sebuah kenyataan memaklumkan solat Jumaat hanya terhad kepada ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Perintah tersebut telah diperkenan Raja Perlis iaitu Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Baginda berpendapat tindakan demikian adalah sebagai permulaan untuk membolehkan ‘Syiar Jumaat’ dihidupkan semula.

Peraturan disediakan untuk masjid-masjid di Perlis agar didirikan solat Jumaat selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ekoran Covid-19 selepas mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Muazakarah Khas Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan itu, solat Jumaat hendaklah didirikan dengan mematuhi ketetapan tertentu seperti jumlah jemaah termasuk imam dan khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang.

Masjid tidak dibuka kepada orang awam, sebaliknya hanya pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa masjid sahaja dibenarkan melakukan solat Jumaat.

Terhad selama 15 minit sahaja

Gambar hiasan

Selain itu, antara syarat yang lain termasuk individu berusia 60 tahun dan keatas tidak dibenarkan ke masjid. Malah, pelaksanaan tersebut perlu dilakukan di kawasan lebih terbuka seperti anjung masjid. Jemaah dikehendaki berwuduk lebih awal sebelum ke masjid dan solat Jumaat terhad selama 15 minit sahaja.

Setiap yang diizinkan hadir hendaklah membuat pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran di dalam buku kehadiran.

Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selesema serta mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah dan sebagainya tidak dibenarkan hadir.

Jemaah mestilah melaksanakan penjarakan sosial semasa solat sekurang-kurangnya dua meter, serta diwajibkan memakai pelitup muka ketika menunaikan solat Jumaat.

Tiada kontak fizikal dibenarkan di dalam masjid sama ada sebelum atau selepas solat dan jemaah hendaklah terus beredar meninggalkan kawasan masjid seusai selesai solat.

Sumber: Metro

SKIP THIS AD ×