berita

Permata Tersembunyi Di Pahang, ‘Black Water Jewel’ Janjikan Pemandangan Flora Fauna Yang Indah!

July 23rd, 2020 | by AnisAffandi
Travelogue

Sungai Bebar atau lebih dikenali sebagai ‘Black Water Jewel’ merupakan antara salah satu warisan yang mempunyai air berwarna hitam keseluruhannya. Sungai sepanjang lebih kurang 40km yang terletak di Pekan, Pahang ini juga terletak di kawasan kompleks hutan paya gambut yang terbesar di Asia Tenggara berdasarkan ‘Human Development Report’ (UNDP 2006).

Terdapat perkampungan Orang Asli

Memetik laporan Kuantan Loka, khazanah tersembunyi ini kaya dengan alam semulajadi  yang boleh ditemui di hutan hujan tropika di Malaysia dan air berwarna hitam itu disebabkan oleh pewarna semulajadi yang terhasil daripada kandungan bahan organik tinggi yang berada di tanah dan dalam sungai ini. Pelbagai spesis flora dan fauna terdapat di hutan paya gambut ini termasuklah yang sukar untuk ditemui.

Terdapat juga beberapa buah perkampungan orang asli yang unik berhampiran sungai ini seperti Kampung Runchang, Kampung Simpai dan Kampung Landai dan masih ada juga yang masih menghuni rumah rakit di sekitar sungai ini.

Mereka kebanyakannya berketurunan Asli Jakun dan Semelai yang masih mencari hasil hutan seperti gaharu, rotan, bercucuk tanam dan menangkap ikan sungai. Selain itu, ada juga di antara mereka bekerja bersama syarikat kerajaan negeri (perladangan) dan ada juga yang terlibat dalam program Agropolitan juga mengukir perabot dan perhiasan dari kayu.

Tidak diganggu pembangunan bandar

Untuk merasai pengalaman penuh berada di sini, anda juga boleh berkhemah di sepanjang Sungai Bebar ini terutamanya di perkampungan orang asli dan juga terdapat rumah rakit yang boleh disewa terletak di Kampung Landai. Selain itu bagi merasakan menyusuri sungai ini, anda boleh menyewa bot bermotor yang mengambil masa 4 hingga 5 jam atau kanu yang mengambil masa 3 hari 2 malam untuk tempoh pergi balik yang boleh disewa dari Kampung Asli Runchang.

Sungai yang mengalir sepanjang berhampiran Lebuhraya Kuantan-Muadzam itu merupakan antara tempat istimewa untuk dilawati kerana sungai ini masih terpelihara daripada pembangunan bandar.

Anda juga boleh membayar upah kepada pemandu pelancong Orang Asli yang menetap di situ. Lawatan boleh dimulakan dari Nenasi dan berakhir di Runchang atau sebaliknya. Jangan terkejut kerana sepanjang anda menyusuri sungai ini, anda akan disajikan dengan keindahan alam flora dan fauna termasuk pelbagai spesis burung yang sukar ditemui. Selain itu, tempat ini juga merupakan syurga buat kaki pancing.

Agar diberi perhatian

‘Black Water Jewel’ atau Air Permata Hitam ini merupakan permata besar dalam sektor pelancongan di negeri Pahang dan harus ditambah dengan pelbagai kemudahan seperti chalet, tapak perkhemahan, rumah rakit, jeti dan tandas di mana akan mendorong lebih ramai pelancong untuk kesini.

ADUN Bebar dan juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin bin Mohd Ariff telah membawa usul ini dalam Sidang Dun Pahang supaya tempat ini lebih diberi perhatian oleh pihak berwajib. Menurutnya lagi, sebagai rakyat yang cintakan alam semulajadi, hendaklah bersama menjaga kelestrian dan keindahan sungai ini agar permata tersembunyi ini dikenali seantero dunia.

Sumber : Kuantan Loka , Kerajaan Negeri Pahang

SKIP THIS AD ×