berita

Pernah Berjuang Bersama Leftenan Adnan, Prebet Ujang Mormin Meninggal Dunia Akibat Covid-19

February 10th, 2021 | by Amat
Kini Trending

Dukacita dimaklumkan bahawa negara kita sekali lagi kehilangan insan yang pernah berjuang untuk negara suatu ketika dahulu iaitu Prebet Ujang Mormin. Beliau merupakan salah seorang Veteran Perang Dunia Kedua menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dipercayai disebabkan positif Covid-19.

Dijangkiti positif Covid-19

Memetik laporan Bernama, Prebet Ujang Mormin meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh pada jam 5.05 petang. Berita itu disahkan oleh cucu saudara perempuannya iaitu Lailawati Jamil.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 26 Januari lalu selepas dikesan positif COVID-19.

Pihak hospital telefon saya empat hari lalu memaklumkan arwah sudah kritikal dan sejak itu setiap hari saya mengikuti perkembangan keadaannya menerusi panggilan video dan semalam pun saya sempat tanya keadaan atuk.

Sebelum ini arwah ada meluahkan kerinduan untuk berjumpa sanak saudara dan kawan-kawan, seakan-akan arwah tahu masanya dah tiba, tapi kerana keadaan COVID-19 ketika ini kami tidak dapat menziarahinya, saya rasa agak terkilan.

Latar belakang Ujang Mormin

Allahyarham Ujang Mormin berasal dari Kampung Kundur, Rembau pernah bersama-sama lagenda wira perang Allahyarham Leftenan Adnan Saidi ketika menentang tentera Jepun.

Memetik laporan Harian Metro, beliau merupakan satu-satunya veteran Perang Dunia Kedua yang dipercayai masih hidup sebelum disahkan meninggal dunia disebabkan positif Covid-19. Perkongsian beliau terdahulu, Prebet Ujang dikatakan pernah berjuang dalam batalion yang sama dengan Leftenan Adnan ketika pertempuran di Pasir Panjang, Bukit Chermin dan Bukit Candu.

Allahyarham menyertai bidang ketenteraan pada 1939 dengan menyertai Tentera British sebelum diserap ke Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebagai Prebet pada 1942.

Selepas empat bulan menyertai latihan tentera di Port Dickson pada 1941, buat pertama kalinya dia dihantar ke Gap Ridge, Singapura bagi mengekang kemaraan serangan askar Jepun sebaik mereka mula menyerang Tanah Melayu.

Berjuang bersama Leftenan Adnan

Ujang Mormin pernah berkongsikan pengalamannya berjuang bersama Allahyarham Leftenan Adnan ketika berada di benteng pertahanan terakhir British yang berada di bawah Leftenan Jeneral Arthur Percival.

Kubu yang kami jaga adalah kubu terakhir di Singapura. Saya berjuang bersama Leftenan Adnan Saidi yang berkubu di Bukit Candu, Pasir Panjang dan pada masa sama, saya bersama kompeni yang ditempatkan di Bukit Chermin.

Selama berhari-hari menghalang kemaraan Jepun, kami putus bekalan makanan sebelum terpaksa berundur ke dalam hutan di Singapura sebaik mendapat berita Leftenan Adnan gugur dalam pertempuran pada 14 Februari 1942.

Sumber: BERNAMA, Harian Metro

SKIP THIS AD ×