Alami pelbagai penyakit
Sekadar gambar hiasan
Kamarul, 40, tidak lagi mampu bekerja dan menanggung keperluan anak-anaknya selepas menghidapi pelbagai penyakit seperti lemah jantung, darah tinggi, kencing manis, asma dan batu karang.
Malah apa yang lebih mengejutkan, dia juga baru sahaja tersedar daripada koma baru-baru ini dan keenam-enam anaknya terpaksa hidup sendiri di rumah tanpa sebarang pengawasan.
Saya baru sahaja keluar dari hospital selepas koma beberapa hari. Anak saya terpaksa hidup sendiri di rumah tanpa penjagaan. Pernah juga mereka mengadu kerap kelaparan kerana tiada makanan.
Jaga enam anak selepas bercerai
Bapa kepada anak-anak yang berusia dari lingkungan dua hingga 13 tahun ini berkata, dia menyara semua anaknya secara sendirian selepas bercerai dengan isterinya sejak dua tahun lepas.
Bekas isteri meninggalkan semua anak kepada saya sebaik kami bercerai dua tahun lalu. Itu hak dia untuk bebas.
Katanya, dia kini buntu memikirkan masa depan anak-anaknya akibat daripada masalah kesihatan yang sedang dialami.
Terpaksa serahkan empat orang anak
Keputusan berat terpaksa dibuat Kamarul apabila dia akan menyerahkan empat daripada enam anaknya ke rumah kebajikan demi masa depan mereka.
Katanya,ia dibuat secara bersama dengan saudara-maranya dan anak bongsunya yang kini berusia dua tahun akan dijaga oleh adiknya di Seremban.
Memang ia satu keputusan yang sukar tetapi demi masa depan mereka, saya terpaksa. Saya sudah tidak mampu lagi dan harap mereka dapat menyesuaikan diri di rumah kebajikan itu nanti.
Anak perempuan yang bongsu berusia dua tahun akan dijaga adik saya di Seremban dan anak sulung lelaki berusia 13 tahun akan kekal bersama saya kerana dia alami autisme sejak kecil.
Apa yang lebih memilukan, Kamarul memberitahu rumah yang kini didudukinya juga akan dilelong tidak lama lagi.
Mungkin selepas ini saya terpaksa menumpang di rumah adik di Senawang.
Tiada apa yang diharapkan oleh bapa ini selain melihat empat anaknya yang bakal ditempatkan di rumah kebajikan nanti dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menjadi insan yang berguna suatu hari nanti.
Sumber: Harian Metro