Biarpun sudah melangkah ke depan namun luka lama masih berbekas. Siapa sangka, pelakon dan penyanyi Nabila Razali yang jarang berkongsi hal peribadi kepada umum ini pernah menempuh kisah cinta yang tragis.
Artikel Berkaitan: Nabila Razali Cuci Rumah Mangsa Banjir, Netizen Fokus Dengan Penampilan – ‘Pakai Baju Putih Habis La Kena Lumpur’
Kena tinggal tanpa berita
Ketika ditemui OhBulan!, Nabila, 29, mendedahkan dia pernah ditinggalkan kekasih disebabkan kehadiran orang ketiga pada lima tahun lalu. Katanya, dia sudah membawa haluan sendiri namun luka lama masih terasa di hati.
Kisah putus cinta ini sudah lama, sebelum saya bergelar artis lagi sebenarnya. Kami bercinta pun tidak lama sebenarnya, dalam setahun. Ketika itu saya belum bergelar seorang artis.
Punca putus cinta adalah disebabkan orang ketiga. Saya ditinggalkan begitu sahaja tanpa berita sehingga membuatkan saya ketika itu tertanya-tanya sama ada hubungan kami masih berterusan atau tidak.
Sekarang ini masing-masing sudah pun membawa haluan sendiri. Saya pun sudah ‘move on’. Tapi ada beberapa perkara yang masih saya tidak boleh lupa.
Tambah pemilik nama Nur Nabila Mohd. Razali, dia tidak ada menyimpan rasa dendam namun untuk ‘duduk semeja’ masih belum boleh dilakukan.
Luka mungkin sudah sembuh, namun parutnya masih ada. Tapi saya tidak pun menyimpan rasa dendam, cuma saya masih tidak boleh ‘duduk semeja’ lagi dengan si dia.
Sekarang ini saya hanya fokus pada kerjaya. Banyak perkara yang ingin saya uruskan selain daripada memikirkan tentang cinta.
Nabila ditemui ketika majlis pelancaran novel Kerana Cinta Itu Ada yang diadakan di Bookxcess, MyTown, pada Rabu.
Idea asal sendiri
Bercerita tentang Kerana Cinta Itu Ada, pelantun lagu Putus ini memilih untuk mengabadikan kisah cinta silam dalam novel.
Kata Nabila, 50 peratus perjalanan kisah dalam novel itu mempunyai kaitan dengan dirinya dan dia berharap dapat menyuntik semangat kepada wanita lain yang turut gagal dalam percintaan.
Novel Kerana Cinta Itu Ada dihasilkan daripada idea asal oleh saya sendiri. Saya guna pengalaman sendiri dan tidak mencipta idea baharu yang tidak saya alami.
Boleh dikatakan 50 peratus cerita dalam novel ini adalah kisah benar yang berlaku dalam kisah percintaan saya.
Saya kongsikan pengalaman cinta saya dalam bentuk novel kerana mahu peminat tahu bahawa saya juga pernah mempunyai pengalaman putus cinta.
Setiap orang ada cerita yang mungkin sama dan diharap dapat memberi semangat kepada mereka untuk terus bangkit, cuma dalam novel ini watak dan jalan cerita diubah mengikut kesesuaian supaya lebih menarik untuk pembaca.
Selain itu, pelakon drama Kebaya Kasut Kanvas juga merancang untuk mengadaptasikan karya tersebut kepada sebuah drama.
Novel Kerana Cinta Itu Ada boleh didapati secara dalam talian bermula 14 Mac dengan harga RM35 bagi Semenanjung Malaysia, manakala RM38 di Sabah dan Sarawak. Novel ini juga bakal berada di kedai buku seluruh Malaysia dalam masa terdekat.