berita

Pertaruhan Berani Malisa J Melalui Single Curiga

June 14th, 2013 | by Ai
Kini Trending

Malisa j

Pastinya ramai tertanya-tanya siapakah yang empunya nama Malisa.J ini. Nama Malisa memang agak malap dan tidak dikenali umum walaupun telah lama berkecimpung dalam aktiviti nyanyian sejak usia belasan tahun lagi. Malah dia juga pernah menyertai pertandingan Malaysian Idol 2 suatu ketika dulu namun tidak bernasib baik.

OHBULAN! difahamkan pada tahun 2002, Malisa pernah mengeluarkan album pertamanya berjudul ‘Rapuhnya Cinta Mu’ di bawah naungan Music Valley yang memuatkan 10 buah lagu di dalam album sulungnya itu.

Namun sayangnya, mungkin akibat promosi pemasaran yang tidak tepat, album ‘Rapuhnya Cinta Mu’ tidak mendapat sambutan dan nama Malisa.J terus tenggelam.

Sehinggalah hari ini, Malisa nekad dengan pendiriannya untuk terus menapak di dalam industri muzik tanah air melalui single terbarunya berjudul ‘Curiga’.

malisa2

Menurut penyanyi yang berasal dari Johor ini, Curiga adalah peluangnya untuk mencapai cita-cita yang selama ini terpendam selepas kegagalan dengan percubaan pertama kira-kira sebelas tahun yang lalu.

Ketika ditanya mengapa mengambil masa yang agak lama untuk mempromosikan bakatnya sekali lagi, Malisa hanya menyatakan dia perlu mempersiapkan diri dengan lebih banyak pengalaman sebelum terjun ke dalam industri.

Saya masih muda ketika album pertama saya diterbitkan. Saya akui saya tidak banyak pengalaman pada ketika itu dan hanya mengikut telunjuk orang.

Selepas album itu gagal mendapat sambutan, saya sebenarnya dalam diam mengutip lebih banyak pengalaman dalam bidang nyanyian di samping mengumpul duit untuk menghasilkan single ini.

Untuk pengetahuan umum, lagu Curiga mendapat sentuhan muzik gubahan Damian Mikhail yang merupakan bekas anggota kumpulan VE dan lirik oleh Altimet.

Lagu yang bergenre progresif R&B Pop ini mengetengahkan rentak zumba dan diselitkan dengan nyanyian rap oleh Sabiq, penyanyi rap dari Brunei.

malisa

Melalui persembahan yang dibuat oleh Malisa sewaktu majlis pelancaran Curiga petang semalam, dapat dilihat bakatnya memang lain dari yang lain di samping mempunyai suara serak-serak basah yang cukup lunak.

Sebelum mengakhiri perbualan, Malisa juga mengakui sudah bersedia dengan segala kemungkinan jika percubaannya kali ini tidak bernasib baik namun dia tetap tidak akan mengalah.

Kali ini saya takkan berhenti mencuba lagi. Kalau lagu rancak tidak diterima peminat, saya akan cuba bawa lagu bergenre lain seperti balada. Saya sudah nekad untuk teruskan perjalanan seni saya di dalam industri.

Kalau anda semua nak tahu, Malisa sebelum ini adalah vokalis utama kumpulan NRG dan banyak membuat persembahan di Hard Rock Cafe. Enam tahun bersama NRG, Malisa akhirnya bergerak secara solo untuk mengejar cita-citanya demi minat yang mendalam terhadap nyanyian.

SKIP THIS AD ×